11 Pemain Bola Sepak Malaysia Berbangsa Cina Yang Bertaraf Legenda

Cina adalah salah satu bangsa utama di Malaysia. Sumbangan dan peranan kaum Cina ketika Malaysia mencapai kemerdekaan tidak boleh kita nafikan dari lipatan sejarah negara. Dan kami hanya menyenaraikan pemain bertaraf legenda.

Artikel kali ini menyenaraikan 11 pemain berbangsa Cina yang bertaraf leDan perlu diingat, bukan 11 pemain ini sahaja pemain bola sepak Malaysia berbangsa Cina yang bertaraf legenda.

1. Chow Chee Keong

Posisi: Penjaga gol

Ketika usianya baru 14 tahun, Chow Chee Keong sudah pun mewakili skuad Malaysia bawah-20. 2 tahun kemudian pada usia 16 tahun, beliau sudah pun menjadi penjaga gol skuad senior Malaysia.

Pada Februari 1970, Chee Keong yang pada ketika itu baru berusia 20 tahun telah ditawarkan oleh juara liga bola sepak Hong Kong, Jardines SA untuk menjadi pemain profesional mereka. Beliau ditawarkan gaji HK$2,500 sebulan.

Bersama Malaysia, Chee Keong pernah membantu skuad kebangsaan menjuarai Pestabola Merdeka 1968. Beliau juga pernah diiktiraf sebagai penjaga gol terbaik oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebanyak 5 kali berturut-turut dari 1966 hingga 1970.

Turut berada dalam senarai penghormatan: Wong Kam Fook dan Lim Fung Kee.

2. Yee Seng Choy

Posisi: Bek kanan

Sumber: ipohworld.org

Kapten Perak era 60-an, Yee Seng Choy mula mengasah bakat di Kelab Rekreasi Cina Perak yang bermain di Liga Ipoh.

Pada era 60-an, Seng Choy merupakan prodigi Malaya. Apabila AFC meminta FAM menghantar 5 pemain terbaiknya untuk membentuk Asian All Star pada tahun 1960, FAM menghantar 4 pemain senior (S. Lourdes, Stanley Gabrielle, Edwin Dutton, Ghani Minhat) dan Seng Choy.

Di skuad kebangsaan jika Robert Choe cedera, Seng Choy akan menjadi kapten.

Turut berada dalam senarai penghormatan: Chow Kwai Lam

3. Soh Chin Aun

Posisi: Pertahanan tengah

Tak sah bercakap tentang lagenda pertahanan negara tanpa membincangkan Soh Chin Aun.

Versatil, keras, bijak dan pandai memimpin. Sejak mengambil alih tugas kapten skuad kebangsaan dari Namat Abdullah pada 1975, Chin Aun bertanggungjawab membantu Malaysia menjuarai 2 gelaran Pestabola Merdeka, 2 pingat emas Sukan SEA dan kelayakan ke Sukan Olimpik 1980.

Pencapaian beliau ini menenggelamkan pencapaian lagenda Negeri Sembilan, Mok Wai Hong yang menjuarai Pestabola Merdeka 1958, 1959 dan 1960.

Turut berada dalam senarai penghormatan: Mok Wai Hong

4. Chan Tuck Choy

Posisi: Pertahanan tengah

Sumber: History of Football in Malaysia 1900-2000

Bukan sebarang pemain boleh duduk sebelah Tunku Abdul Rahman dalam sesi bergambar rasmi pasukan Malaya yang menjuarai Pestabola Merdeka 1958.

Dalam gambar di atas, hanya Chan Tuck Choy dan Ghani Minhat mendapat penghormatan tersebut.

Kapten Perak era 50-an ini adalah definisi posisi centre half dalam formasi 2-3-5 Malaya. Tinggi, kuat, keras dan tiada belas kasihan.

Kami berbelah bahagi sama ada untuk memilih Tuck Choy ataupun pertahanan tengah Kedah era lewat 80-an dan awal 90-an Kedah, Lee Kin Hong.

Tetapi memandangkan Kin Hong terlibat dalam kes rasuah 1994, kami memilih Tuck Choy.

Turut berada dalam senarai penghormatan: Lee Kin Hong

5. Foo Fook Chuan

Posisi: Bek kiri

Jika dibandingkan antara bek kiri era 60-an Perak, Foo Fook Chuan dan bek kiri era lewat 70-an Selangor, Wong Hung Nung, kami lebih menggemari pencapaian Wong Hung Nung.

Tetapi reputasi Hung Nung tercemar pada lewat 1986 selepas didapati bersalah kerana cuba menyogok setiap pemain negara dengan wang RM 5000 supaya pasukan kalah dua gol kepada Arab Saudi dalam kempen Sukan Asia 1986.

Pencapaian Foo Fook Chuan tetap membanggakan sebenarnya. Beliau membantu Malaysia menjuarai Pestabola Merdeka 1968 selepas 7 tahun kempunan.

Ketika bermain, Fook Chuan bukan sahaja terkenal dengan aksi bertahannya. Beliau juga terkenal kerana kepakarannya menjaringkan gol melalui sepakan percuma.

Persembahan cemerlang sepanjang tahun 1968 membolehkan namanya tersenarai sebagai calon Olahragawan Kebangsaan 1969. Nasib tidak berpihak kepada beliau kerana kalah kepada seorang lagi atlet hebat – Datuk Punch Gunalan dari sukan badminton.

Turut berada dalam senarai penghormatan: Wong Hung Nung

6. Yap Wai Loon

Posisi: Tengah

Ong Kim Swee dalam temuramahnya bersama Four Four Two Malaysia pada tahun 2014 pernah memberitahu Yap Wai Loon adalah pemain tengah Malaysia paling digemarinya.

Ketika Arsenal turun menentang skuad kebangsaan pada Mei 1999, Yap Wai Loon adalah salah satu daripada 2 pemain kebangsaan yang dipuji Arsene Wenger (seorang lagi adalah Azman Adnan).

Bersama skuad kebangsaan, Wai Loon membantu Malaysia menjadi naib juara Piala Tiger 1996. Ia satu pencapaian yang memuaskan jika kita mengambil faktor ratusan pemain yang digantung selepas kes rasuah 1994.

7. Lim Teong Kim

Posisi: Tengah

Selepas gagal menempa nama di Hertha Berlin pada tahun 1987, Lim Teong Kim boleh sahaja kekal di Malaysia sebagai lagenda. Apatah lagi selepas membantu negara menamatkan kemarau pingat emas Sukan SEA pada tahun 1989.

Tetapi Teong Kim seorang individu yang unik. Beliau tak berpuas hati dengan pencapaian setakat Asia Tenggara. Beliau mahukan kejayaan di peringkat dunia.

Gagal melakukannya sebagai pemain, Teong Kim kini mahu melakukannya sebagai jurulatih pula. Atas sikap beliau ini sahaja, sudah cukup untuk kami julangnya sebagai lagenda.

8. Wong Choon Wah

Posisi: Tengah

Selain Soh Chin Aun, Wong Choon Wah adalah satu lagi nama wajib dalam senarai pemain bola sepak Malaysia berbangsa Cina yang bertaraf lagenda.

Pernah beraksi dalam ketiga-tiga perlawanan kumpulan Sukan Olimpik 1972 Munich, Choon Wah juga membantu Malaysia menjuarai Pestabola Merdeka 3 kali dan memenangi pingat gangsa Sukan Asia 1974.

Ketika dihubungi kami untuk menjelaskan cara permainannya, wartawan Tony Mariadass memberitahu gaya permainan Choon Wah mirip seperti Luka Modric. Elegan, elusif, berseni dan berbahaya.

Maka tak hairanlah gergasi bola sepak Hong Kong, South China pernah mengambilnya bermain sebagai pemain profesional.

9. Khan Hung Meng

Posisi: Sayap kiri

Mana-mana penyokong Selangor era 80-an akan memberitahu anda antara pemain sayap kiri terbaik yang pernah mereka miliki adalah Khan Hung Meng.

Penyokong Pahang era 80-an pula pasti ‘bencikannya’. Ini kerana 2 gol dan 1 assist dari Hung Meng dalam masa 5 minit terakhir perlawanan meranapkan harapan mereka untuk menjulang Piala Malaysia 1984.

Lincah, laju, agresif dan berstamina tinggi. Aset Hung Meng ini membantu Malaysia menewaskan kelab Czechoslavakia, Sigma Olumouc 3-0 dalam final Pestabola Merdeka 1986.

Turut berada dalam senarai penghormatan: Looi Loon Teik, Ng Boon Bee

10. Arthur Koh

Posisi: Sayap kanan

Semasa Malaya menjuarai Pestabola Merdeka 1958, gandingan trio Robert Choe (tengah), Ghani Minhat (kanan) dan Ng Boon Bee (kiri) menjadi pujaan penyokong.

Tetapi apabila presiden FAM, Tunku Abdul Rahman memberi ultimatum supaya Boon Bee memilih sama ada fokus kepada sukan badminton atau bola sepak (kerana Boon Bee juga mewakili Malaya dalam sukan badminton), Arthur Koh datang sebagai pengganti.

Dalam gandingan baru ini, Ghani Minhat dipindahkan ke kiri. Arthur Koh pula mengambil alih di sayap kanan.

Di posisi inilah, Arthur Koh mencipta nama sebagai penjaring gol kemenangan untuk menewaskan Hong Kong 2-1. Ini membolehkan Malaya mengekalkan kejuaraan Pestabola Merdeka buat kali kedua berturut-turut pada 1959.

11. Robert Choe

Posisi: Penyerang

Robert Choe (kiri) dan Abdul Ghani Minhat (kanan) pernah dihantar oleh FAM untuk berlatih di England untutk memantapkan persembahan mereka. Kelihatan di gambar adalah lagenda penyerang Tottenham Hotspur, Jimmy Greaves (tengah). (Foto: Koleksi peribadi Abdul Ghani Minhat)

Bersama adik beradiknya Richard dan Johnny, Robert Choe mengharumkan nama Melaka pada era lewat 50-an dan awal 60-an sehingga melayakkan dirinya dipanggil bermain dalam skuad kebangsaan.

Bersama skuad kebangsaan, Robert Choe membantu Malaya memenangi kejuaraan Pestabola Merdeka 1958, 1959, 1960 dan pingat gangsa Sukan Asia Jakarta 1962.

Pada 1962, beliau turut ditawarkan oleh Eintracht Frankfurt dan Tottenham Hotspur (bersama Ghani Minhat) untuk menghadiri sesi percubaan. Perlu diingat; hanya 2 tahun sebelumnya Eintracht Frankfurt merupakan naib juara European Cup 1960 di belakang Real Madrid.

Atas sebab-sebab inilah kami memilih Robert Choe berbanding dua lagi penyerang hebat, James Wong dan Yip Chee Keong.

Turut berada dalam senarai penghormatan: James Wong, Yip Chee Keong.

Penutup

Dalam apa pun pekerjaan, tanpa fokus dan keyakinan diri, mustahil kita mampu untuk mencapai kejayaan. Pemain-pemain ini telah membuktikan dengan fokus dan keyakinan diri mereka mampu untuk berjaya.

Selamat Menyambut Tahun Baru Cina kepada semua pembaca kami dari masyarakat cina, dan selamat bercuti buat yang lain.

Diedit pada Ahad, 29 Januari 2017 (9.46pm): Ralat pada gambar Wong Choon Wah, sebelum ini merupakan gambar Looi Loon Teik. Terima kasih kepada Shazwan Wong kerana membetulkan kami!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN