’11 Negeri Lawan JDT’ – Ini Sebab KL City FC Boleh Jadi ‘Underdog’ Yang Mampu Kejutkan JDT

Berusia 100 tahun dan merupakan edisi Piala Malaysia ke-95, perlawanan akhir Piala Malaysia 2021 menjadi tumpuan pada malam ini.

Bertempat di Stadium Nasional Bukit Jalil, perlawanan kali ini menemukan juara Liga Super lapan kali berturut-turut dan juga Raja Lembah Klang, Kuala Lumpur City (KL City FC).

Di atas kertas, JDT memiliki segala ramuan untuk bergelar juara selepas mendominasi bola sepak tanah air sejak 2013 di bawah revolusi yang dibawa oleh Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ).

KL City FC pula baru berusia setahun jagung sekiranya usaha untuk memartabatkan bola sepak pasukan itu diambil kira – diketuai oleh pengurusan pasukan yang diketuai oleh CEO, Stanly Bernard.

Walaupun berstatus underdog, ini tidak bermakna cabaran KL City FC wajar dipandang ringan oleh JDT. Berikut adalah antara sebab mengapa KL City FC yang dianggap pasukan lebih kerdil mampu mengejutkan skuad Harimau Selatan pada malam ini.

Prestasi semasa Romel Morales

Salah satu sebab utama KL City FC mampu menjelmakan kejutan adalah kerana prestasi semasa penyerang daripada Colombia, Romel Morales.

Untuk rekod, pemain berusia 25 tahun ini sebenarnya adalah seorang pemain tengah menyerang yang cukup versatile. Disebabkan isu kecederaan di jentera hadapan, Bojan Hodak menjadikan beliau penyerang utama dengan peranan False 9 (No.9 jadian).

Tidak salah untuk melabelkan Morales adalah No.9 jadian terbaik pernah disaksikan di Liga Malaysia, khususnya di pertandingan Piala Malaysia setakat ini.

Perjudian Hodak setakat ini membuahkan hasil apabila Romel Morales menjaringkan 10 gol sepanjang kempen Piala Malaysia, dan merupakan pendahulu untuk penjaring terbanyak pertandingan setakat ini.

Berjaya membantu pasukannya mara ke perlawanan akhir, Morales pasti mahu meninggalkan kesan dengan menjaringkan gol sekaligus membawa KL City FC muncul juara pada malam ini.

Pengalaman Bojan Hodak

Jika ada jurulatih asing yang boleh anggap kaya dengan pengalaman di pertandingan Piala Malaysia, maka orangnya adalah Bojan Hodak.

Untuk rekod, perlawanan akhir Piala Malaysia pada musim ini adalah merupakan perlawanan akhir yang keempat buat Bojan Hodak.

Pengendali dari Croatia itu sebelum ini pernah menjuarai pertandingan ini pada tahun 2012 ketika bersama Kelantan dan menjadi naib juara pada musim 2013 (Kelantan) dan 2014 ketika bersama JDT.

Hodak dianggap sebagai salah seorang pakar taktikal dan sehingga kini telah berjaya mengubah wajah skuad warga kota daripada sebuah pasukan bawahan kepada antara pasukan paling menarik perhatian daripada segi permainan pada musim ini – walaupun baru setahun mengendalikan pasukan itu.

Ia pasti ibarat mimpi menjadi kenyataan, dan klimaks terbaik untuk apa yang mereka lalui pada musim ini sekiranya Hodak berjaya meraih kemenangan bersama KL City FC pada malam ini.

Status underdog KL City FC

Status underdog yang dipegang KL City FC juga bermakna tekanan bukan milik mereka menjelang perlawanan pada malam ini. Kelebihan ini memberikan mereka lebih banyak ruang untuk melakukan persiapan dan fokus untuk memerangkap JDT.

Rata-rata pemain di dalam skuad warga kota juga tidak menjangkakan mereka mampu melangkah sehingga ke perlawanan akhir pada musim ini.

Ibarat peribahasa “alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan”, alang-alang masuk final, mestilah main sampai menang!

TMJ dan taktik ‘Us against the world’ 

Dimana-mana pertandingan sekali pun, JDT sentiasa menjadi tumpuan peminat bola sepak negara. Ia bukan perkara menghairankan. Sudah menjadi kebiasaan, kelab bola sepak terkuat di mana-mana liga akan sentiasa dibenci oleh penyokong lawan. Apatah lagi jika pasukan itu mendominasi pertandingan untuk sekian lama.

Dalam erti kata lain situasi ini juga digunakan oleh TMJ untuk membangkitkan taktik ‘us against the world’ – atau ‘kita lawan semua mereka.’

Di dalam konteks bola sepak di Malaysia, KL City FC akan mendapat sokongan penyokong semua pasukan lawan kerana faktor JDT harus ditentang dan dikalahkan.

Mengapa 11 negeri? Ini kerana hanya penyokong Penang FC yang bersama JDT kerana hendakkan slot ke Asia pada musim hadapan.

Apa yang dilakukan oleh TMJ itu sebenarnya amat mudah difahami. Ia adalah untuk membangkitkan semangat penyokong JDT. Namun yang terutama, ia adalah untuk meniupkan semangat melawan kepada barisan pemain JDT sendiri.

Namun TMJ sendiri suatu ketika dahulu pernah berkata ianya tidak mudah untuk memberi motivasi kepada pemain JDT kerana pemain-pemain ini sudah biasa meraih kejuaraan. Mampukah taktik kali ini dijadikan motivasi oleh pemain JDT?

Atau adakah ia sekadar akan menjadi sekadar retorik yang hanya akan memakan diri? Jika sedemikian, pemain-pemain KL City FC akan mempunyai lebih banyak sebab untuk menang perlawanan ini.

Demi Shukor Adan dan Indra Putra

Perlawanan akhir Piala Malaysia kali ini akan menjadi perlawanan terakhir Shukor Adan dan Indra Putra Mahayuddin bersama KL City FC.

Selepas karier selama 24 tahun dan kini berusia 42 tahun, Shukor akan bersara. Indra walaupun belum mengumumkan persaraan sah akan meninggalkan pasukan itu selepas tamat saingan musim ini.

Shukor yang digelar ‘The Boss’  dan Indra adalah dua watak yang begitu dihormati di kalangan rakan sepasukan di bilik persalinan.

Demi untuk Shukor Adan dan Indra Putra, pemain-pemain KL City FC dikatakan nekad menghadiahkan kejuaraan Piala Malaysia pada musim ini untuk kedua-dua legenda hidup itu.

Penutup

Mampukah KL City FC menjelmakan kejutan di perlawanan akhir pada malam ini. Kita perlu tunggu dulu sekurang-kurangnya 90 minit perlawanan,

Kalah atau menang adalah adat permainan. Menang kita raikan, kalah kita cuba lagi.

Leave a Reply