‘10,000 Tiket Mudah Penyokong Kedah Habiskan?’ – Mungkin Mereka Terlupa Fakta Ini

Penyokong Kedah Piala Harapan 2023 tiket habis

Dalam salah satu komen di laman sosial rasmi, Penang FC, salah seorang penyokong Penang dipetik berkata, setakat 10,000 keping tiket, mudah buat penyokong Kedah untuk habiskan. Ia rentetan insiden tiket ‘sold out’.

Sebentar tadi, pengurusan Penang telah mengumumkan yang tiket fizikal telah habis dijual selepas dua jam kaunter jualan dibuka di  stadium.

Ia mengejutkan banyak pihak terutamanya yang sedang beratur di kaunter, malah ada juga yang masih dalam perjalanan untuk menuju ke stadium.

Bagaimana stadium berkapasiti 40,000 penonton itu telah habis dijual dalam tempoh masa dua jam? Malah, perlawanan diadakan pada hari bekerja – yang juga tidak terkecuali menerima kritikan pedas tempohari.

Semuanya BOLA difahamkan oleh rakan sekerja yang bertugas di lokasi, jumlah sebenar tiket yang dibuka untuk jualan adalah 8,000 keping.

Ini kerana, bahagian tempat duduk penonton di kawasan atas stadium itu ditutup atas faktor keselamatan. Jadi, itulah jumlah tiket yang habis dijual.

Selain itu, untuk jualan ‘Pay Per View’ yang akan disiarkan secara langsung sebentar lagi oleh Balrz.tv, difahamkan hampir mencapai 3,000 tiket.

Pengurusan Penang telah mengumumkan pihaknya telah menambah 1,000 keping tiket untuk penyokong yang masih setia menanti di kaunter stadium.

Selain itu, menurut info terbaru dari Stadium Negeri Pulau Pinang di Batu Kawan, penyokong hanya perlu membayar kepada petugas pintu masuk stadium apabila tiket tambahan juga telah habis ‘diangkut’ sebentar tadi.

Menurut komentar yang ditinggalkan oleh penyokong Penang itu, jumlah 10,000 tiket tersebut adalah terlalu mudah buat penyokong Kedah habiskan.

Ia dilihat sebagai kritikan kepada pengurusan yang tidak bersedia dengan kemungkinan tiket akan habis dijual. Siapa jangka 8,000 keping akan habis?

Adakah benar kenyataan ini? Menurut fakta pada musim lalu, Stadium Darul Aman merekodkan purata hanya lebih 4,000 penyokong hadir untuk 11 perlawanan yang berlangsung di halaman sendiri. Jadi, bagaimana?

Kehadiran penyokong di home 2022
Jumlah kehadiran 11 perlawanan di gelanggang sendiri 2022. FOTO: Football Tribe

Faktor penyumbang kepada perkara tersebut adalah yang pertama, impak kehadiran Nafuzi Zain sebagai pengendali. Ia memenuhi selera penyokong.

Sejak penyertaannya pada awal Disember lalu, penyokong Kedah telah mula memasang impian melangit. Imej Nafuzi sebagai pengendali amat disegani.

Malah pengendali semakin meningkat naik itu merangkul gelaran Jurulatih Terbaik di Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2022, Disember lalu.

Jumlah kehadiran yang kecil adalah mungkin disebabkan oleh prestasi tidak konsisten skuad kendalian Aidil Sharin Sahak dalam kempen musim lalu. Kedah akhirnya menamatkan saingan Liga Super musim 2022 di tangga ke-8 – terburuk sejak Sang Kenari kembali ke saingan utama pada 2016.

Faktor kedua, pemain yang menyertai Kedah musim ini. Kemasukkan pemain lincah, Manuel Hidalgo amat mengujakan penyokong Sang Kenari selain kehadiran penjaga gol skuad kebangsaan, Kalamullah Al-Hafiz serta pemain naturalisasi negara, Lee Tuck yang menyerlah di Piala AFF 2022.

Setiap kali aksi pemanas badan di Alor Setar selain sesi latihan pasukan, begitu ramai penyokong dilihat hadir untuk menzahirkan sokongan padu.

Sudah agak lama mereka tidak teruja sebegini selepas era Tan Cheng Hoe. Jadi, kemasukkan pemain-pemain baharu juga menyumbang kepada minat penyokong untuk kembali bersama pasukan, memberikan dokongan.

Seterusnya, aura pemilik pasukan, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar memangkin kepada peningkatan sokongan ini. Sebagai anak jati Kedah, Dr Daud dilihat mudah didekati malah melahirkan pelbagai inisiatif untuk penyokong.

Inisiatifnya dilihat amat dekat dengan penyokong. Antaranya pengenalan konsep tiket keluarga yang memberi fokus kepada pembelian tiket untuk penyokong yang membawa ahli keluarga selain penjualan Burger Premium.

Yang terakhirnya adalah, aksi pemanas badan ini berlangsung di Stadium Negeri Batu Kawan. Penyokong Kedah yang berada di sempadan Kedah-Pulau Pinang terutamanya mudah untuk turun hadir memberi sokongan.

Mungkin pengurusan Penang tidak sedar akan faktor yang menyumbang kepada peningkatan semula sokongan buat Kedah sejak akhir-akhir ini. Penjualan 8,000 tiket dilihat rasional disebabkan purata penyokong mereka yang turun ke Stadium Darul Aman musim lalu hanyalah lebih 4,000.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN