10 Trio Penyerang Paling Berbahaya Di UEFA Champions League

UEFA Champions League (UCL) kembali lagi pada awal pagi nanti untuk perlawanan ke-3 peringkat kumpulan. Selepas 2 perlawanan, kesemua 32 pasukan yang bertanding di dalam 8 kumpulan telah menjaringkan sejumlah 102 gol.

Pertandingan UCL pada musim ini turut menampilkan rangkaian tiga penyerang atau pun trio penyerang yang berbahaya daripada beberapa buah kelab yang bertanding.

Kami tampilkan 10 trio penyerang daripada 10 pasukan yang menjadi tumpuan di dalam pertandingan  UCL pada musim ini.

1. Christian Pulisic, Pierre-Emerick Aubameyang & Marco Reus (Borussia Dortmund)

Borussia Dortmund kini berada di kedudukan teratas Bundesliga. Trio dinamik Pulisic-Aubameyang-Reus adalah gandingan baru di Dortmund, dan mereka memiliki kepantasan serta potensi.

Aubameyang telah membuktikan diri sebagai pencetak gol yang memiliki kepantasan. Manakala Reus pernah menampilkan bayangan kualiti seorang penyerang berkelas dunia. Selepas kembali daripada kecederaan, Reus kembali untuk membuktikan bahawa beliau benar-benar memiliki pakej tersebut.

(Photo by Lintao Zhang/Getty Images)

Di antara ketiga-tiga pemain, Pulisic adalah pemain yang memberikan ‘x-factor’ dalam gandingan ini. Pemain antarabangsa Amerika Syarikat berusia 18 tahun ini terus menampilkan prestasi di luar jangka sebagai seorang penyerang sayap yang sering memenangi perlawanan untuk Dortmund.

Kebolehannya pada hari ini sudah mulai digeruni lawan. Dan tidak ada siapa tahu sejauh mana potensi yang ada pada Pulisic akan terus berkembang.

2. Henrikh Mkhitaryan, Romelu Lukaku & Anthony Martial (Manchester United)

Pada mulanya ramai yang meragui kebolehan trio ini, mengambil kira ketiadaan pengalaman di pentas eropah. Tetapi 5 daripada 7 jaringan Manchester United melalui 2 perlawanan awal yang terhasil daripada trio ini adalah statistik yang mengkagumkan.

Penyerang antarabangsa Belgium, Romelu Lukaku adalah penyerang utama dengan 3 gol setakat ini.

(Photo by Harry How/Getty Images)

Henrikh Mkhitaryan pula adalah pemain yang lebih dinamik. Pemain dari Armenia ini boleh bermain di belakang Lukaku atau tampil memberi ancaman dari sebelah kiri dan kanan pertahanan lawan.

Manakala Anthony Martial gemar melakukan larian dari sebelah kiri untuk memecah pertahanan lawan dengan kelincahan dan skilnya.

3. Christian Eriksen, Harry Kane & Dele Alli (Tottenham Hotspur)

Pertemuan menentang Real Madrid pada awal pagi nanti adalah pentas terbaik untuk trio ini membuktikan diri mereka mempunyai kualiti berkelas dunia.

Harry Kane adalah penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk dua musim berturut-turut. Sudah tiba masanya, Kane menobatkan dirinya antara penyerang paling prolifik di pentas eropah.

(Photo by Stephen Pond/Getty Images)

2 perlawanan peringkat kumpulan setakat ini, bintang England ini telah menjaringkan 5 gol untuk mendahului senarai penjaring. Sudah tentu beliau tidak akan dapat melakukannya tanpa bantuan daripada Dele Alli dan juga Christian Eriksen.

Spurs beraksi menggunakan formasi 3-4-2-1. Eriksen bertindak sebagai playmaker dan menjadi fokal utama serangan Spurs. Manakala Dele Alli penting untuk membantu Eriksen dengan visinya; menghantar lorongan serta umpanan yang diperlukan oleh Kane.

Gandingan ketiga-tiganya sukar dibendung. Kesilapan oleh pertahanan lawan, pasti akan dihukum.

4. Mohamed Salah, Roberto Firmino & Sadio Mané (Liverpool)

Lupakan sebentar Philippe Coutinho. Salah-Firmino-Mane adalah pilihan pertama Jurgen Klopp untuk beraksi di hadapan Coutinho dalam sistem 4-3-3 di Liverpool.

Untuk perlawanan Champions League pada malam ini, Liverpool agak malang kerana terpaksa melupakan khidmat Mane yang mengalami kecederaan. Jika tidak, ini adalah gandingan utama yang mampu memberi masalah kepada lawan di eropah.

Di antara 3 pemain ini, Roberto Firmino adalah pemain yang memiliki kepantasan serta kebijaksanaan untuk beraksi sebagai No.9 jadian.

(Photo by David Blunsden/Action Plus via Getty Images)

Dalam aksinya, pemain ini akan cenderung untuk turun sedikit ke bawah sebelum membenarkan Salah dan Mane menggunakan kepantasan memasuki zon pertahanan akhir lawan untuk menjaringkan gol.

Mane adalah pemain yang mempunyai kekuatan fizikal, pantas dan kebolehan teknikal yang baik dengan bola. Manakala Salah adalah pemain yang mempunyai kebolehan ‘off the ball’ untuk pantas mencari ruang.

Walaupun trio ini mungkin mengalami kemarau gol buat masa ini, tidak ada pasukan yang berani memandang rendah akan keupayaan mereka.

5. Arjen Robben, Robert Lewandowski & Franck Ribery (Bayern Munich)

Usia mungkin bukan di pihak mereka. Tetapi Bayern Munich mempunyai trio yang penuh dengan pengalaman di pentas tertinggi eropah. Buat masa ini kita harus lupakan aksi Ribery kerana kecederaan yang dialaminya.

Jika tidak kerana kecederaan tersebut, maka kita akan menyaksikan antara 2 ‘inverted winger’ terbaik dunia beraksi bersama dalam gandingan Robben dan Ribery.

Lewandowski adalah pemain No.9 klasik yang mempunyai kekuatan di udara dan kotak penalti lawan.

(Photo credit should read GUENTER SCHIFFMANN/AFP/Getty Images)

Apa yang menarik sekali ialah bagaimana Jupp Heynckes, pengurus yang kembali menerajui kelab Bavarian ini selepas pemecatan Carlo Ancelotti menggunakan barisan penyerangnya.

Heynckes adalah seorang yang tegas dan bermentaliti pemenang. Sangat sesuai untuk menguruskan sebuah kelab seperti Bayern Munich.

6. Paulo Dybala, Gonzalo Higuain & Mario Mandzukic (Juventus)

Rangkaian 3 pemain yang mengepalai Juventus adalah antara yang paling unik. Mereka terdiri daripada 2 baka pemain No.9 dan seorang baka No.10.

Namun perubahan taktikal menyaksikan Mario Mandzukic telah diubahsuai menjadi seorang pemain sayap. Mandzukic kelihatan seperti tidak ada masalah dengan peranan barunya itu.

(Photo by Nicolò Campo/LightRocket via Getty Images)

Higuain adalah No.9 yang prolifik tanpa mengira kelab mana yang beliau beraksi. Manakala Paulo Dybala meneruskan aksi konsistennya sebagai seorang pemain No.10 bertaraf dunia.

Trio ini berjaya membantu Juventus layak sehingga ke perlawanan akhir pada musim lalu sebelum dikecewakan oleh Real Madrid 4-1.

7. José Callejón, Dries Mertens & Lorenzo Insigne (Napoli)

Napoli memiliki antara trio serangan yang memperagakan ‘fluidity’ yang tinggi di kalangan pasukan-pasukan yang bertanding di UCL. Ketiga-tiga pemain mempunyai kepantasan, dan ia menyukarkan pertahanan lawan untuk mengawal mereka.

Corak permainan sesama mereka amat menghiburkan. Trio ini turut memiliki kebolehan menjaringkan gol di luar jangkaan dan yang sukar kita bayangkan akan terjadi.

(Photo by Silvia Lore/NurPhoto via Getty Images)

Napoli boleh pergi lebih jauh dengan kualiti rangkaian serangan Callejon-Mertens-Insigne.

Namun Maurizio Sarri turut perlu memastikan Napoli memiliki pertahanan yang lebih stabil untuk pergi lebih jauh dalam pertandingan eropah.

8. Kylian Mbappé, Edinson Cavani & Neymar (Paris Saint-Germain)

Paris Saint-Germain (PSG) benar-benar serius untuk melakukan impak di pentas eropah. Pada musim lalu, saingan mereka disekat oleh Barcelona dengan cara yang sangat mendebarkan.

Kali ini mereka kembali dan menampilkan rangkaian trio penyerang termahal di dunia. Secara keseluruhan PSG memerlukan €465 juta untuk membentuk gandingan Mbappe-Cavani-Neymar.

Tidak dapat dinafikan gandingan ini antara gandingan yang paling dinamik di pentas eropah pada hari ini. Mereka telah membuktikan keupayaan mereka di singan Ligue 1, namun UCL adalah pentas yang berbeza.

AFP PHOTO / Patrick HERTZOG (Photo credit should read PATRICK HERTZOG/AFP/Getty Images)

Sehingga kini, trio ini telah menghasilkan sejumlah 6 gol daripada 8 keseluruhan daripada 2 perlawanan awal peringkat kumpulan B. Setakat ini, ia adalah permulaan yang wajar memberi kerisauan kepada gergasi-gergasi eropah yang lain.

Neymar tiba di PSG dengan banyak perkara untuk dibuktikan, selepas cuba melarikan diri dari bayangan Messi. Cavani adalah penyerang dengan rekod jaringan prolifik jika memperolehi peluang.

Manakala Mbappe adalah bintang meningkat naik, mengingatkan kita kepada Neymar ketika bintang Brazil itu baru tiba di Nou Camp satu masa dahulu.

9. Ousmane Dembélé, Leo Messi & Luis Suárez (Barcelona)

Tidak sukar untuk membuat kategori untuk rangkaian serangan di Barcelona. Mereka terdiri daripada pemain terbaik dunia (Lionel Messi), pemain No.9 terbaik dunia (Luis Suarez), dan pemain sayap muda terbaik dunia (Ousmane Dembele).

Dembele adalah rekrut baru. Ramai yang mencanangkan pemain muda Perancis ini adalah pengganti kepada Neymar. Beraksi di sebelah sayap kanan, aksi awalnya yang memukau sebelum mengalami kecederaan membayangkan potensi sebenar bekas pemain Borussia Dortmund ini.

(Photo by David Ramos/Getty Images)

Dembele mempunyai masa hadapan yang cerah bersama Barcelona, jika beliau terus bekerja keras. Sayang sekali kecederaan harmstring yang dialaminya dalam saingan La Liga bermakna Dembee hanya akan kembali beraksi pada tahun hadapan.

Lionel Messi adalah pemain serba boleh di bahagian serangan Barcelona. Beliau boleh beraksi di sebelah kanan, kiri dan tengah pasukan. Tetapi prestasi terbaiknya ialah ketika berperanan sebagai seorang No.9 jadian.

Luis Suarez adalah penyerang No.9 yang berada di kelasnya yang tersendiri sejak menyertai Barcelona daripad Liverpool. Bersama-sama Messi, Suarez adalah antara pemain No.9 antara yang paling digeruni di dunia.

Kepantasan dan ketajaman Messi dan Suarez di hadapan gawang adalah mimpi ngeri buat mana-mana pertahanan lawan.

10. Cristiano Ronaldo, Karim Benzema & Isco

Real Madrid adalah juara UCL pada musim lalu. Tidak keterlaluan untuk kita meletakkan trio serangan Los Blancos sebagai yang terbaik di dunia.

Tidak seperti gandingan trio yang lain, Real Madrid mempunyai gandingan trio dengan profil yang berbeza. Tidak ada pemain sayap.

Isco boleh dianggap sebagai pemain dengan peranan No.10 apungan (floating No.10), Cristiano Ronaldo adalah penyerang apungan (floating striker) dan Karim Benzema adalah pemain No.9, tetapi berprofilkan No.9 jadian.

(Photo by Jean Catuffe/Getty Images,)

Benzema adalah titik tetap dalam serangan Real Madrid. Gerakan tanpa bola Benzema adalah menakjubkan, untuk membenarkan Isco dan pemain yang lain mencipta peluang untuk Cristiano Ronaldo menjaringkan gol.

Sistem ini sukar dibaca oleh pertahanan lawan. Ia sangat unik dan diadun dengan kebolehan teknikal sepasukan yang luar biasa. Mana-mana pemain pertahanan di dunia akan menemui kesukaran untuk mengekang mereka, jika ketiga-tiga pemain cergas dan berada di tahap terbaik mereka.

Rumusan

Pada pendapat anda, trio serangan manakah yang mampu membawa pasukan masing-masing pergi lebih jauh dalam pertandingan UEFA Champions League?

Gandingan manakah kegemaran anda? Mengapa ianya sedemikian? Jelaskan di ruangan komen. Kami mahu mendengarnya daripada anda!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN