Pemain bola sepak sentiasa memerlukan jurulatih yang bagus untuk mengasah skil, menambah pengetahuan dan menjadikan mereka pemain yang lebih bagus.
Tetapi kadang kala, ada perangai-perangai buruk pemain yang menyukarkan tugas jurulatih untuk memperbaiki permainan mereka.
Untuk membantu kami menghasilkan artikel ini, kami menemuramah beberapa orang jurulatih – dari pemegang lesen UEFA A hinggalah kepada pemegang lesen A AFC.
Berikut adalah 10 tabiat buruk pemain yang harus dikikis jika mereka mahu menjadi pemain yang lebih bagus:
1. Menyibuk hal taktikal
Selain sibuk menunjukkan kepada semua orang tentang pengetahuan taktikal dan drill latihan yang pernah dipelajarinya, ada pemain yang gemar menyanggah keputusan jurulatih yang menetapkan posisi pemain.
Kata mereka, pemain A tidak sesuai bermain di posisi pertahanan tengah kerana lebih pendek daripada pemain B dan C.
Sebagai pemain, tugas anda adalah memahami, mematuhi dan melaksanakan arahan taktikal individu dan pasukan yang diberikan oleh jurulatih.
Bukannya menunjukkan kepada semua orang bahawa anda adalah ‘the next Pep Guardiola’ semasa taklimat taktikal dari jurulatih.
2. Menyalahkan orang lain bila pasukan kalah
Amalan ‘bangau oh bangau’ atau suka menyalahkan orang lain daripada pemain menunjukkan mentaliti mereka yang tidak layak bermain dalam sukan yang memerlukan teamwork seperti bola sepak.
Jika anda selalu hilang bola, jangan salahkan rakan sepasukan yang tidak membantu anda. Jika anda gagal menjaringkan gol, jangan salahkan jentera tengah anda.
Jika tak pandai menari, jangan salahkan lantai. Belajar mengambil tanggungjawab dan anda akan menjadi pemain yang lebih bagus kerana sentiasa mahu memperbaiki diri.
3. Bersembang ketika jurulatih bercakap
Menurut jurulatih-jurulatih yang kami temuramah, hal ini selalu terjadi semasa mereka menerangkan drill latihan kepada pemain-pemain.
Ketika jurulatih menuntut pemain untuk memberi fokus dan perhatian 100% dalam latihan, ketika inilah pemain mahu bersembang.
Ia bukan saja biadap, malah menunjukkan pemain bersifat mementingkan diri sendiri kerana tidak fokus untuk memperbaiki diri sendiri dan pasukan.
Selain itu, jurulatih-jurulatih juga tidak gemar apabila pemain mencekak pinggang apabila mendengar taklimat. Amalan seeloknya adalah, meletakkan tangan di belakang badan.
4. Datang lewat, balik awal
Menurut seorang jurulatih pasukan liga FAS, perkara ini selalu terjadi kepada pemain liga semi-pro dan amatur.
Sepatutnya pemain perlu datang ke padang awal 1 jam sebelum perlawanan. Ini memudahkan kerja jurulatih untuk menyediakan start list, memberi taklimat taktikal dan team talk sebelum perlawanan.
Sesudah perlawanan, pemain yang datang lewat ini pula balik awal. Ini sahaja dah menunjukkan pemain kurang semangat berpasukan.
Dalam sesi latihan pula, amalan datang lewat balik awal ini bukanlah amalan pemain-pemain berkelas dunia.
Arjen Robben sentiasa menambah 2 jam selepas latihan pasukan untuk memperbaiki teknik larian cut inside dan shooting technique beliau.
Sebab itulah beliau masih mampu menjaringkan banyak gol walaupun pasukan lawan sudah boleh membaca gerakan kegemarannya dari sayap kanan.
5. Malas belajar/memperbaiki diri sendiri
Sekali lagi, perkara ini selalu terjadi kepada pemain liga semi-pro dan amatur.
Kebanyakan pemain di peringkat ini bencikan jurulatih yang gemar menghentikan latihan dan memperbetulkan pemain (stop and correct). Mereka mudah berasa bosan apabila jurulatih kerap menghentikan latihan untuk memperbetulkan kesalahan mereka.
“Bola sepak ni kalau main hari-hari jadi pandai la bro,” kata mereka tanpa memikirkan fakta bahawa pemain-pemain Malaysia juga bermain bola sepak hari-hari, tetapi seri juga dengan pemain semi-pro Macau yang berlatih hanya 4 jam seminggu.
6. Terlalu fokus memenangi bola bila bertahan
Ketika bertahan banyak pemain yang fokus 100% untuk memenangi bola. Inilah yang menyebabkan pemain mudah melayangkan badan untuk memenangi bola sekaligus memudahkannya ditipu pemain berskil.
Selain memenangi bola, mereka juga perlu fokus untuk ‘mengawal dan mengurus’ pemain yang mempunyai bola dengan:
- mengecilkan ruang mereka beroperasi
- memisahkan mereka daripada rakan sepasukan
7. Tidak berfikir 1-2 langkah ke hadapan sebelum menerima bola
Kebanyakan pemain gemar menunggu sehingga bola sampai ke kaki sebelum membuat keputusan seterusnya. Ini menyebabkan mereka tidak mempunyai banyak pilihan (lalu gelabah dan membuat pilihan kurang bijak) apabila menerima bola.
Menurut seorang jurulatih berlesen UEFA A yang kami temuramah, pemain perlu tahu apa yang mereka mahu buat dengan bola SEBELUM bola sampai ke kaki mereka.
8. Cuba mematikan bola dalam semua situasi
Ramai pemain sedaya-upaya untuk memastikan bola ‘senyap’ atau ‘mati’ setiap kali menerima bola, bukannya menguasai seni directional first touch – seni mengarahkan bola ke laluan yang betul dengan satu sentuhan.
9. Tidak tahu/guna konsep numerical advantages
Walaupun pasukan mempunyai numerical advantages seperti 2v1, 3v2 dan sebagainya dalam situasi-situasi tertentu, ada sesetengah pemain yang gagal mengenalpasti situasi-situasi tersebut dan membuat pilihan yang salah.
Contohnya pemain memilih untuk melakukan hantaran jauh sedangkan situasi 4v3 sedang berlaku di kawasan beliau bermain.
Jika mereka mengenalpasti pun kelebihan ini, mereka tidak menggunakannya dan lebih rela bermain secara solo atau secara susah.
10. Menggunakan terlalu banyak touches ketika menggelecek
Banyak pemain yang menganggap semakin banyak skil dan sentuhan bola yang mereka lakukan semasa menggelecek, semakin terpedaya pemain pertahanan dan semakin bagus permainan mereka di mata jurulatih.
Salah.
Sebaliknya jurulatih lebih suka jika pemain menggunakan sentuhan pertama (first touch) yang bagus, acahan gerak badan (feints) yang ringkas untuk menewaskan pertahanan dalam situasi 1v1.
Nota editor: Terima kasih kepada En. Isa Ar-Rifa’i, Mr. Oleg Starynski dan catdz kerana membantu kami menghasilkan artikel ini.