Dalam bola sepak, pelbagai rekod telah tertulis dari yang cukup mengagumkan kepada yang agak aneh bunyinya.
Dikala pemain seperti Lionel Messi dan juga Cristiano Ronaldo memecahkan tembok kemasyhuran dengan rekod yang dimiliki mereka. Ada juga beberapa rekod yang barangkali sukar untuk dipecahkan.
Hasil perkongsian di laman Reddit, kami menjumpai 10 rekod bola sepak yang paling sukar untuk dipecahkan sekurang-kurangnya untuk 5 tahun akan datang.
Rekod apa? Jom kita baca!
10. Jaringan terbesar dalam perlawanan antarabangsa
Rekod kemenangan bola sepak antarabangsa yang paling besar pernah dicatatkan adalah ketika pada tahun 2001.
Ia terhasil ketika perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2002 Zon Ocenia melibatkan Australia menentang Samoa Amerika.
Rekod yang dicatatkan oleh pasukan Socceroos itu adalah sebanyak 31-0 dan ia mungkin sukar untuk dicapai oleh mana-mana pasukan dalam masa terdekat.
9. Gol terpantas dalam perlawanan akhir FA Cup
Gol terpantas yang dijaringkan di perlawanan akhir FA Cup adalah pada tahun 2009.
Ia terhasil menerusi jaringan Louis Saha untuk pasukan Everton ketika menetang Chelsea yang kemudiannya dimenangi oleh Chelsea dengan jaringan 2-1.
8. Rekod tanpa kalah Arsenal di Premier League
Arsenal ketika era Highbury merupakan pasukan yang cukup gerun untuk dihadapi.
Buktinya, mereka berjaya memperoleh gelaran Premier League pada 2004 dengan rekod tanpa sebarang kekalahan!
Rekod yang digelar sebagai Invincible ini menyaksikan mereka mencatatkan 26 kemenangan dan 12 seri untuk membolehkan mereka menjadi satu-satunya pasukan yang menerima trofi Premier League bersalut emas keseluruhannya.
7. Dominasi kejuaraan Eropah
Dalam saingan UEFA Champions League (UCL) atau European Cup, hanya Real Madrid sahaja pasukan yang mempunyai gelaran tersebut melebihi 10 gelaran dengan 12 gelaran Eropah.
Dominasi tersebut sepertinya sukar untuk dipecahkan berikutan dengan dominasi semasa Real Madrid di pentas Eropah jadi ia menjadi sedikit sukar untuk pasukan-pasukan lain menyamai rekod yang dicipta mereka.
6. Penampilan termuda dalam bola sepak senior
Satu rekod yang cukup aneh tetapi itulah kebenarannya. Pemain bernama Mauricio Baldivieso memecahkan rekod sebagai pemain termuda yang melakukan penampilan senior dalam bola sepak.
Ianya terhasil selepas beliau diberikan peluang untuk beraksi bersama-sama kelab Aurora dalam aksi divisyen 1 Bolivia pada 2009.
Lebih menarik, ia diberikan pada 3 hari sebelum hari lahir beliau yang ke-12 tahun!
5. Kad merah terpantas
Jika anda rasakan kad merah yang dicatat oleh Steven Gerrard adalah yang terpantas, maka anda silap!
Gerrard memerlukan 40 saat untuk dibuang padang ketika menentang Manchester United, tetapi rekod yang terpantas untuk dibuang padang adalah menerusi pemain bernama Lee Todd.
Todd memerlukan hanya 2 saat sahaja untuk dibuang pada 2000 selepas beliau mencarut ketika perlawanan.
Ia berlaku selepas beliau terkejut mendengar tiupan wisel oleh pengadil yang cukup kuat.
Kerana terkejut, beliau terus menjerit, “Celaka! Kuatnya!”
Lalu beliau dibuang padang kerana itu.
4. Kad merah terbanyak dalam satu perlawanan
Dalam sebuah perlawanan di Argentina, seorang pengadil telah bertindak memberikan kad merah kepada 36 orang dalam satu perlawanan!
Ketika aksi perlawanan diantara Claypole menentang Victoriano Arenas, pengadil Damian Rubino telah memberikan 36 kad merah kepada setiap pemain yang bermain dengan 14 pegawai pasukan turut menerima nasib yang sama.
Ianya berlaku selepas berlaku pergaduhan yang nyata di luar kawalan melibatkan kedua-dua pasukan.
3. Rekod gol Alan Shearer di Premier League
Alan Shearer merupakan antara penyerang yang cukup terbilang dalam sejarah Premier League.
Beliau telah mencatatkan rekod sebanyak 260 gol dan sehingga kini tiada lagi pemain yang belum lagi mampu memecahkannya.
Salah satu daripada 260 gol beliau adalah menerusi gol cantik ini:
Pemain paling hampir yang boleh memecahkan rekod beliau adalah Wayne Rooney dengan 198. Tetapi, pastinya beliau memerlukan musim yang cemerlang bersama-sama Everton.
2. Gol terbanyak dalam satu kejohanan Piala Dunia
Rekod ini masih lagi belum dapat dipecahkan.
Just Fontaine merupakan pemain yang menjaringkan gol paling banyak dalam satu-satu kejohanan Piala Dunia.
Dilakukan pada edisi 1958, walaupun negara beliau iaitu Perancis menamatkan saingan ditempat ke-3 tetapi Fontaine hadir dengan rekod cemerlang apabila menjaringkan 13 gol dari 6 perlawanan ketika itu!
1. Gol terbanyak oleh penjaga gol
Rekod ini mungkin sukar untuk dipecahkan walaupun dalam masa 1000 tahun.
Penjaga gol legenda Brazil iaitu Rogerio Ceni merupakan penjaga gol yang paling hebat dalam menjaringkan gol apabila beliau mencatatkan rekod 131 gol.
Gol yang terhasil menerusi sepakan percuma dan sepakan penalti ini bukti kepada kehebatan penjaga gol ini serta konsistensi beliau dalam menjaringkan dari situasi tersebut.
Sumber:
- Reddit (2017): The likelihood of breaking ’10 football records that will never be broken’ within the next 5 years; https://www.reddit.com/r/soccer/comments/6s0mw7/the_likelihood_of_breaking_10_football_records/