10% Penonton Ikut Kapasiti Stadium Pun Belum Tentu Dapat Capai

Penyokong Stadium

Apabila diberitakan penyokong telah dibenarkan untuk hadir menonton perlawanan di stadium, rata-rata pengurusan pasukan menarik nafas lega kerana akhirnya mereka dapat kembali menjana pendapatan.

Bukan hanya hasil dari jualan tiket, tetapi ia juga dapat memberi ruang kepada pasukan meningkatkan nilai komersial dan sekaligus dapat menarik dan meyakinkan penaja-penaja sedia ada dan baharu.

Bagaimanapun jika kita mengimbas kembali suasana perlawanan bola sepak di Malaysia sebelum pandemik, hakikatnya dalam kebanyakan perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) jauh lebih banyak kerusi kosong berbanding jumlah penonton di dalam stadium.

Hanya perlawanan-perlawanan tumpuan melibatkan musuh tradisi atau saingan piala di peringkat suku akhir ke atas barulah stadium-stadium akan mula dipenuhi.

Angin penyokong pula kebiasaannya bergantung kepada prestasi semasa pasukan. Menjadi lumrah jumlah penyokong akan merosot apabila pasukan merosot dan meningkat apabila prestasi pasukan meningkat.

Mungkin tidak salah untuk menyenaraikan beberapa pasukan yang dilihat agak ‘bergelut’ untuk menarik penyokong mereka hadir menonton perlawanan di stadium.

Pasukan yang berasaskan ‘negeri’ seperti Melaka United, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur menyaksikan kemerosotan kehadiran penyokong yang begitu ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pasukan yang tidak mempunyai ‘fan based’ yang kukuh seperti UiTM FC, PJ City dan PDRM pula pastinya berdepan situasi yang lebih sukar.

Maka dengan itu, semua penyokong seharusnya memanfaatkan peluang yang diberikan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan membantu pasukan masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon ketika ditemubual media MFL mengharapkan perkembangan terbaharu ini dapat kembali merapatkan hubungan antara pasukan dan penyokong.

“Semua pihak pasti gembira dengan perkembangan ini dan kami mahu mengucapkan terima kasih kepada MKN, KKM [Kementerian Kesihatan Malaysia] dan kerja keras MFL kerana mendapat kebenaran semula penyokong masuk ke dalam stadium,” kata Johan.

“Setelah sekian lama hubungan dengan penyokong hanya mampu terjalin secara digital, kini pasukan mampu ada hubungan secara fizikal dan dalam masa sama, pulangan pelaburan kepada penaja dapat dilihat secara langsung.

“Selain itu, peratusan untuk penyokong hadir biarpun buat masa ini masih rendah namun saya yakin akan meningkat secara perlahan-lahan mengikut keadaan semasa.”

Formula jumlah kemasukan penonton bergantung kepada lapisan peringkat PKP.

Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menyaksikan sebanyak 25 peratus atau 8,000 penonton daripada kapasiti tempat duduk penonton atau tertakluk kepada kebenaran penganjur dibenarkan.

Manakala Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pula menyaksikan 10 peratus atau maksima 2,000 penonton dibenarkan.

Kredit Foto: Melaka United

Page Semuanya BOLA yang lama kini sedang menghadapi masalah. Jadi untuk terus membaca artikel-artikel menarik dan berkualiti, jangan lupa like dan follow page baharu Semuanya BOLA (fb.com/semuanyabolaofficial) dan siaran Telegram (t.me/mysemuanyabola).

Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan:

Stadium Sultan Ibrahim Dan Stadium Kuala Lumpur Dipilih Untuk Projek Perintis Kemasukan Penonton

Melaka United Dihukum Potongan 3 Mata Liga Super

Leave a Reply