Selain daripada kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menjadi idaman setiap pasukan yang bertanding, seseorang pemain terutamanya penyerang sudah pasti mengimpikan untuk menghasilkan seberapa banyak jaringan bagi meletakkan nama sebagai penjaring terbanyak dan juga membantu pasukan yang diwakili mereka.
Pada musim 2017/18, penyerang Manchester United, Romelu Lukaku kini sedang memimpin pemain yang lain apabila berjaya menyumbat 7 gol selepas melalui 7 perlawanan setakat ini.
Sergio Aguero, Alvaro Morata dan Harry Kane berada ditempat kedua dengan enam gol. Dari keempat-empat penyerang prolifik tersebut, hanya Morata yang baru pertama kali berpengalaman beraksi di EPL.
Aguero kini berada ditangga ke-12 dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman apabila berjaya menghasilkan 128 gol. Romelu Lukaku yang sebelum ini menyinar bersama Everton telah menghasilkan 92 jaringan sementara itu Kane dengan 84 gol.
Jika melihatkan kepada prestasi semasa dan dapat mengelakkan dari kecederaan, Aguero, Lukaku dan Kane adalah calon terbaik untuk bersama-sama Wayne Rooney dan Jermain Defoe bagi berada dalam senarai 10 penjaring terbanyak sepanjang zaman.
Berikut adalah 10 pemain yang berjaya mencatatkan jaringan tertinggi sepanjang zaman di saingan Liga Perdana Inggeris :
10) Teddy Sheringham ( 146 Jaringan dalam 418 perlawanan )
Penyerang yang sudah menjangkau usia 51 tahun ini pernah beraksi dengan 5 pasukan di EPL seperti Manchester United, Tottenham Hotspur, West Ham United, Portsmouth dan Nottingham Forest.
Beliau berjaya membantu Manchester United meraih gelaran liga tiga tahun berturut-turut pada tahun 1998/99, 1999/00 dan 2000/01.
Sheringham juga berjaya memenangi gelaran kasut emas pada musim 1992/93 ketika itu beliau beraksi bersama Tottenham Hotspur.
9) Les Ferdinand ( 149 Jaringan dalam 351 perlawanan )
Penyerang yang memulakan kariernya beraksi dengan Queens Park Rangers (QPR) telah berkelana ke Newcastle United selepas tiga tahun bersama QPR.
Setelah menabur bakti di St James’ Park, Ferdinand kemudiannya ke White Hart Lane untuk menggalas tanggungjawab di Tottenham Hotspur.
Selepas enam musim yang kurang memberangsangkan, beliau menghabiskan sisa kariernya untuk beraksi dengan West Ham United, Leicester City dan Bolton Wanderers.
Rekod jaringan semusim terbaik pernah dicatatkan Fedinand adalah ketika bersama Newcastle United pada musim 1995/96 setelah beliau menjaringkan 25 gol, berkelebihan satu gol dari musim sebelumnya ketika bersama QPR.
8) Micheal Owen ( 150 Jaringan dalam 326 perlawanan )
Penyerang yang hebat yang menjadi kesayangan penyokong Liverpool ini berjaya mencipta gandingan hebat bersama Robbie Fowler pada satu ketika.
Owen berjaya menghasilkan 70 jaringan pada babak pertama manakala 80 gol lagi dihasilkan pada separuh masa kedua.
Beliau turut berjaya memenangi gelaran pemenang kasut emas bagi dua tahun berturut-turut pada musim 1997/98 dan 1998/99.
Selain mencipta saat kegemilangan peribadi beliau bersama Liverpool, Owen pernah beraksi bersama Newcastle United, Manchester United dan Stoke City dalam EPL.
7) Jermain Defoe ( 159 Jaringan dalam 475 perlawanan )
Penyerang berusia 35 tahun ini masih lagi beraksi dan kini bersama pasukan Bournemouth serta masih lagi menjadi pilihan Gareth Southgate untuk bersama skuad kebangsaan England.
Walaupun tidak diturunkan langsung dalam dua musim terawalnya di EPL, Defoe kini sudah beraksi dalam saingan paling popular di dunia ini melebihi 20 tahun.
Yang menariknya, Defoe telah menghasilkan 105 jaringan pada separuh masa kedua dan 54 jaringan lagi terhasil pada babak pertama.
Beliau berpeluang untuk menambah koleksi jaringannya apabila menjadi pemain utama buat Bournemouth musim ini.
6) Robbie Fowler ( 163 Jaringan dalam 379 perlawanan )
Seorang lagi kesayangan penyokong Liverpool yang merupakan penyerang prolifik, cukup berbahaya di hadapan pintu gol pasukan lawan.
Fowler berjaya menjaringan 103 gol ketika di Anfield manakala 60 jaringan lagi ketika bertandang ke tempat lawan.
Musim 1995/96 merupakan musim yang gemilang buat dirinya apabila berjaya menyumbangkan 28 gol buat Liverpool dalam saingan liga ketika itu. Satu jumlah tertinggi yang dilakukan oleh beliau dalam tempoh semusim.
5) Thierry Henry ( 175 Jaringan dalam 258 perlawanan )
Mesin gol di Highbury pada satu ketika dahulu, hanya beraksi untuk Arsenal dalam Liga Perdana Inggeris.
Legenda hidup ini berjaya menjadi pemenang kasut emas dalam empat musim dan tiga musim daripadanya adalah dimenangi berturut-turut.
Kali pertama beliau memenanginya adalah pada tahun 2001/02 dan kemudiannya memenangi secara berturut-turut pada 2003/04, 2004/05 dan 2005/06.
Henry juga menjadi pemain dalam kelompok 10 penjaring terbanyak ini yang mencatatkan jumlah perlawanan paling sedikit dilaluinya dan juga menjadi satu-satunya pemain dalam kelompok ini yang hanya mewakili satu pasukan sahaja dalam EPL.
4) Frank Lampard ( 177 Jaringan dalam 609 perlawanan )
Lampard menjadi pemain tengah yang menjaringkan paling banyak gol setakat ini dalam sejarah Liga Perdana Inggeris.
Ini juga menjadikan Lampard sebagai pemain tengah tunggal yang berada dalam senarai 10 penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam Liga Perdana Inggeris.
Ketika Chelsea berjaya menjuarai EPL pada tahun 2009/10, Lampard juga berjaya menghasilkan jaringan terbanyak dalam satu musim buat dirinya apabila mencetak 22 jaringan pada musim tersebut.
Beliau juga menjaringkan 76 jaringan pada babak pertama dan 101 jaringan dicipta pada separuh masa kedua.
3) Andy Cole ( 187 Jaringan dalam 414 perlawanan )
Cole berjaya mengejutkan banyak pihak pada penampilan pertamanya dalam Liga Perdana Inggeris apabila berupaya menjadi penjaring terbanyak pada musim 1993/94 apabila mencatatkan 34 jaringan ketika berusia 22 tahun.
Gandingannya bersama Peter Beardsley berjaya mencatatkan 55 gol buat Newcastle United yang baru sahaja dinaikkan pangkat beraksi di EPL ketika itu.
Beliau juga pernah beraksi untuk Manchester United, Blackburn Rovers, Fulham, Manchester City, Portsmouth dan Sunderland.
2) Wayne Rooney ( 200 jaringan dalam 467 perlawanan )
Karier hebat Rooney sudah pastinya di Manchester United apabila jaringan demi jaringan berjaya dihasilkan sepanjang 14 musimnya di Old Trafford.
Beliau juga berjaya membantu United menjuarai 5 kejuaraan liga dan turut menjadikannya sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman buat Manchester United.
Sama seperti Defoe yang masih lagi beraksi sehingga ke hari ini, Rooney yang kini kembali ke Everton, mampu untuk terus menambah jumlah koleksi jaringannya.
1) Alan Shearer ( 260 Jaringan dalam 441 perlawanan )
Pemegang rekod penjaring terbanyak sepanjang masa dalam Liga Perdana Inggeris ini pernah mencurahkan bakti bersama Blackburn Rovers dan Newcastle United.
Beliau berjaya memenangi kasut emas bagi tiga tahun berturut-turut dan lebih memberikan erti yang cukup bermakna dalam kariernya adalah apabila memenanginya bersama dua kelab yang berbeza iaitu pada 1994/95 dan 1995/96 (Blackburn Rovers) serta 1996/97 ketika musim pertama selepas berhijrah ke Newcastle United.
Shearer berjaya menjaringkan 117 jaringan pada babak pertama dan 143 gol pada separuh masa kedua yang menyaksikan 173 dari jaringan tersebut dijaringkan di laman sendiri manakala 87 gol dicipta di tempat lawan.