10. Nathaniel Clyne (Liverpool)
Yuran perpindahan: £13.28 juta dari Southampton
Pada harga kurang £15 juta untuk pemain muda Inggeris yang berkualiti seperti Nathaniel Clyne, ia adalah antara pembelian terbaik Brendan Rodgers di Liverpool. Apatah lagi apabila kelab-kelab Inggeris gemar meminta harga yang melampau untuk pemain Inggeris.
Musim ini Clyne meneruskan persembahan baiknya di posisi bek kanan. Beliau memenangi 46 tackles dengan kadar kejayaan 55%, mencatat 47 interceptions (tertinggi di Liverpool), 62 clearance dan 7 blocks.
9. Kevin de Bruyne (VfL Wolfsburg)
Yuran perpindahan: £55.50 juta dari VfL Wolfsburg
Yuran yang dibayar Manchester City untuk Kevin de Bruyne merupakan yang kelima termahal dalam sejarah bola sepak.
Tetapi itulah harga yang anda perlu bayar untuk mendapatkan pemain yang mencipta 21 assists dalam 34 perlawanan untuk VfL Wolfsburg, dan diundi sebagai pemain terbaik Bundesliga musim 2014/2015 dengan undian sebanyak 57%, jauh meninggalkan Arjen Robben (18%).
Musim ini de Bruyne mencipta 9 assists dalam hanya 19 perlawanan EPL sebelum mengalami kecederaan lutut.
8. Yohan Cabaye (Crystal Palace)
Yuran perpindahan: £10.43 juta dari Paris Saint-Germain
Muncul sebagai pemain tengah yang sangat berinspirasi ketika bermain di bawah kendalian Alan Pardew di Newcastle, Yohan Cabaye menarik perhatian PSG yang membayar £18.75 untuk servisnya.
Bagaimanapun beliau gagal menempatkan diri ke kesebelasan utama PSG dan terpaksa berpindah semula ke England untuk bermain dengan kerap. Beliau disatukan semula dengan Pardew, tetapi kali ini di Crystal Palace.
Selain berkebolehan menjadi deep playing playmaker, Cabaye juga memiliki teknik melakukan set-pieces yang berkualiti.
7. Andre Ayew (Swansea City)
Yuran perpindahan: Percuma dari Olymmpique de Marseille
Sejak tiba dari Marseille, Andre Ayew sudah menyumbang kepada 37.5% gol (8 gol dan 1 assist) yang dijaringkan oleh Swansea. Ayew pantas menyesuaikan diri di Swansea dan England, apabila menjaringkan 6 gol dalam 13 perlawanan pertamanya.
Bagaimanapun prestasi beliau menurun selepas itu (seiring dengan penurunan prestasi Swansea yang menyebabkan Garry Monk dipecat) dan hanya menjaringkan 2 gol dalam 12 perlawanan berikutnya.
6. Virgil Van Dijk (Southampton)
Yuran perpindahan: £11.78 juta dari Celtic
Disenaraikan di dalam kesebelasan terbaik tahunan Scottish Premiership untuk 2 musim berturut-turut, Virgil van Dijk pernah dikaitkan dengan perpindahan ke Arsenal dan Manchester United. Namun beliau memilih untuk berpindah ke Southampton.
Beliau merupakan seorang pemain yang sangat cemerlang di udara. Musim ini beliau sudah memenangi 98 daripada 136 duels di udara – jumlah tertinggi bagi pemain pertahanan dalam EPL.
5. Anthony Martial (Manchester United)
Yuran perpindahan: £37.50 juta dari AS Monaco
Apabila Manchester United terpaksa membayar harga yang tinggi untuk pemain yang baru beraksi 52 kali dalam skuad senior (3 untuk Lyon dan 49 untuk Monaco), maka tak hairanlah penyokong United menyuarakan kebimbangan mereka terhadap Anthony Martial.
Tetapi pelaburan United boleh dikatakan berbaloi kerana Martial muncul antara pemain berinspirasi pada musim ini, selain David de Gea.
Mahir menggelecek dari sayap kiri dan berbahaya di kotak penalti, Martial mencatat 56 gelecekan berjaya, 2 kali lebih banyak berbanding Memphis Depay (21). Setakat ini beliau sudah menjaringkan 7 gol dalam liga.
4. Toby Alderweireld (Tottenham Hotspur)
Yuran perpindahan: £12 juta dari Atletico Madrid
Semasa Toby Alderweireld bermain secara pinjaman di Southampton pada musim 2014-15, gawang Southampton hanya bocor 33 kali sahaja – kedua terendah di bawah juara liga Chelsea (32 kali).
Kini di Spurs, Alderweireld merupakan tonggak penting pasukannya yang sedang memburu kejuaraan liga.
Selepas 26 perlawanan, Spurs melepaskan gol yang paling sedikit iaitu hanya 20. Ini adalah disebabkan dari gandingan Alderweireld dengan rakan senegara dari Belgium, Jan Vertonghen; sekaligus memudahkan komunikasi mereka.
3. Dimitri Payet (West Ham United)
Yuran perpindahan: £11.25 juta dari Olymmpique de Marseille
Sukar untuk mendapatkan pemain tengah berkualiti seperti Dimitri Payet pada harga £11.25 juta ketika ini. Payet membuktikan kualitinya di Marseille apabila muncul pemain paling banyak mencipta peluang gol di Eropah pada musim lepas.
Sebelum mengalami kecederaan buku lalinya pada November 2015, Payet telah mencipta 46 peluang gol untuk West Ham hanya dalam 12 perlawanan.
Hanya Mesut Ozil dari Arsenal yang mencipta peluang lebih banyak daripada Payet dalam tempoh sama, iaitu 54 peluang.
2. Petr Cech (Arsenal)
Yuran perpindahan: £10.50 juta dari Chelsea
Selepas zaman Jens Lehmann, tidak keterlaluan untuk mengatakan Arsenal tidak mempunyai seorang penjaga gol yang berkelas dunia.
Bagaimanapun semua ini berubah apabila mereka berjaya mendapatkan Petr Cech – salah seorang penjaga gol terbaik sepanjang zaman – dari Chelsea dengan harga yang sangat murah.
Musim ini Petr Cech telah mencatat 12 clean sheets dari 26 perlawanan, paling banyak dalam EPL.
1. N’Golo Kante (Leicester City)
Yuran perpindahan: £6.75 juta dari SM Caen
Pada pandangan saya, inilah pembelian terbaik musim ini. Sepanjang 90 minit bermain, N’Golo Kante tidak pernah berhenti berlari membantu jentera pertahanan dan serangan.
Dalam aspek pertahanan, Kante telah mencatat 79 tackles (paling tinggi dalam liga), 109 interceptions (paling tinggi dalam liga) setakat ini.
Dalam aspek serangan, Kante mencatat 32 gelecekan berjaya (kedua tertinggi di Leicester selepas Riyad Mahrez) dan mencatat 82% success rate dalam hantarannya (tertinggi di Leicester).
Dengan pemain seperti Kante, maka tak hairanlah Leicester masih mendahului liga di sebalik sikap pesimistik peminat dan pundit EPL terhadap peluang Leicester memenangi liga.
Nota editor: Artikel ini dihasilkan oleh Mohamad Syazwan Bin Abu Talib. Jika anda boleh menulis artikel bola sepak dan mahu artikel anda dibaca oleh lebih 300,000 peminat bola sepak setiap bulan, hantarkan artikel anda (dalam MS Word) ke [email protected].
Baca juga: 10 Dribbler Terbaik EPL Musim 2015/2016