10 Pemain Selangor Champions League Yang Berpotensi Menjadi Pemain Profesional

Pengalaman terlibat dalam tenaga penganjuran Selangor Champions League 2017 (SCL2017) memberi kami peluang unik untuk melihat 540 pemain dari 18 pasukan amatur terbaik sekitar Selangor beraksi selama (minimum) 9 minggu berturut-turut.

Pengalaman kami membuat liputan Piala FAM, 100PLUS Liga Premier dan Liga Super memberi kami idea sejauh mana kualiti pemain yang ditawarkan SCL2017 berbanding 3 liga teratas negara kita.

Dan secara jujurnya, ada beberapa pemain SCL2017 yang kami rasakan berpotensi untuk diketengahkan kepada pasukan-pasukan profesional di Malaysia. Mungkin mereka belum cukup bagus untuk pasukan Liga Super – tetapi cukup kualiti untuk bermain di majoriti pasukan Piala FAM dan pasukan pertengahan 100PLUS Liga Premier.

Berikut merupakan 10 pemain tersebut:

1. Muhammad Haedar bin Abdul Halim (Kajang Ultimate FC)

Posisi: Penyerang sayap, Bek sayap
Umur: 24

Haedar meraikan jaringannya ketika Kajang Ultimate FC menewaskan Ampang ATY Serayan 2-0

Meskipun kaki dominannya adalah kaki kanan, Haedar kerap diletakkan di sayap kiri kerana kebolehannya menggunakan kedua-dua belah kaki. Mempunyai skil gelecekan dan teknik yang bagus selain lincah dan laju, penyerang sayap Kajang Ultimate FC ini adalah mimpi ngeri bagi pertahanan.

Jika anda menutup ruang kaki kanannya, beliau boleh menggunakan kelajuannya dan membuat hantaran lintang bahaya dengan kaki kirinya. Jika anda menutup ruang kaki kirinya, beliau boleh masuk ke tengah dan menjaringkan gol.

Beliau juga sukar dijatuhkan biarpun anda cuba mengasak beliau secara fizikal.

5 gol dalam 8 perlawanan yang dijaringkan oleh beliau adalah bukti beliau merupakan penyerang sayap paling menyerlah dalam SCL2017.

2. K. Aathishesaan (Naga FC)

Posisi: Penyerang sayap, Penyerang tengah
Umur: 19

K. Aathishesaan meraikan jaringannya ketika pasukannya, Naga FC seri 3-3 menentang Puchong Fuerza FC

K. Aathishesaan atau mesra dipanggil Aathi merupakan penyerang sayap yang dikurniakan kelajuan, kelincahan, kemahiran menggelecek dan kualiti hantaran lintang yang cemerlang.

Selain itu keyakinan tinggi yang beliau miliki juga membolehkan beliau selesa bercakap dengan media – menjadikannya antara pemain yang paling digemari oleh media.

Kualitinya dalam SCL2017 tidak terlepas dari pandangan pasukan profesional. Sejurus selepas kempen Naga FC tamat di SCL2017, beliau mendapat peluang percubaan bersama PKNP FC. Tetapi digugurkan kerana mengalami kecederaan di pangkal paha kirinya.

Inilah namanya nasib dalam bola sepak. Sekiranya beliau bebas dari kecederaan, aksi beliau pasti boleh dilihat bersama pasukan Liga Super tersebut.

Tetapi Aathi masih muda. Rezeki beliau untuk bergelar pemain profesional masih belum tertutup jika beliau mempamerkan aksi cemerlang dalam perlawanan SCL All Stars vs TAL All Stars pada 9 Disember 2017 ini yang bakal dihadiri oleh peninjau bakat dari PKNS FC.

3. Indera Sukma Hashim (PJ Level Up FC)

Posisi: Bek kiri
Umur: 27

Indera Sukma (kanan) cuba melarikan bola melepasi kawalan pemain Puchong Fuerza. Kedua-dua pasukan seri 2-2.

Tiada bek kiri lain yang paling banyak tersenarai dalam kesebelasan Team of The Week SCL2017 selain daripada Indera Sukma.

Kualiti utamanya adalah positioning play – satu kualiti yang sering diabaikan oleh majoriti pemain yang bermain sebagai bek sisi (dalam sistem 4 pertahanan) atau bek sayap (dalam sistem 3 pertahanan).

Beliau bukanlah bek sisi paling tinggi, kuat dan laju dalam SCL2017. Tetapi kemahiran beliau berada di posisi betul pada masa yang betul membolehkannya membantu PJ Level Up bertahan dan menyerang dengan efektif di sebelah kiri.

Pada usia 27 tahun, beliau mungkin melihat karier sebagai pemain profesional sebagai perkara yang tidak realistik. Tetapi dengan latihan fizikal dan lebih banyak masa di gimnasium, kualiti beliau sebenarnya tak banyak beza dengan majoriti bek kiri Piala FAM.

4. Muhammad As’syaqireen bin Hasnoddin (Shah Alam Condoh FC)

Posisi: Pertahanan tengah
Umur: 24

Aksi As’syaqireen (berjersi putih) ketika menentang PJ Level Up FC

Bekerja sebagai model profesional yang mempunyai ketinggian lebih 6 kaki dan lemak badan kurang 7%, Muhammad As’syaqireen atau Qireen mempunyai susuk fizikal yang ideal bagi seorang pertahanan tengah.

Qireen turut agresif dalam situasi 1v1, menjadikannya pemain yang menakutkan bagi penyerang tempatan dan lawan yang setanding bagi penyerang import.

Jika beliau diberikan berjam-jam latihan taktikal individu, Qireen mampu berubah menjadi pertahanan tengah yang serba lengkap. Bukan pertahanan tengah yang sekadar mempunyai fizikal tinggi, tegap dan laju.

5. Ku Mohammad Nazran (Shah Alam Antlers FC)

Posisi: Pemain no.10, Regista, Perancang tengah
Umur: 19

Aksi Ku Muhamad Nazran (berjersi hitam) ketika pasukannya tewas 1-2 kepada PIB FC

Pernah bermain untuk skuad Piala Belia Negeri Sembilan dan Selangor, bakat Ku Mohammad Nazran atau mesra dipanggil Kecik ini sememangnya tidak terlepas dari radar bola sepak Malaysia. Tetapi disebabkan fizikalnya yang kecil dan pandai menggelecek, beliau seringkali diletakkan di posisi tipikal – pemain sayap.

Ya, beliau boleh bermain di bahagian sayap. Tetapi aset utamanya bukanlah kelajuan. Sebaliknya kreativiti dan ketenangan memegang bola – satu skillset yang anda perlukan dalam pasukan anda jika anda bermain menentang pasukan yang mengamalkan high pressing.

Ketika membantu pasukannya menewaskan Shah Alam United 2-1, Kecik bukan sahaja bekerja keras di jentera tengah dalam fasa bertahan dan menyerang. Malah bertanggungjawab menghancurkan sistem high pressing pasukan lawan melalui kreativiti dan ketenangannya memegang bola.

6. Razzmir Ashraff (Subang Protap FT)

Posisi: Pemain no.10, Penyerang tengah
Umur: 25

Razzmir Ashraff (kiri) cuba melarikan bola daripada kawalan pemain lawan dalam perlawanan yang menyaksikan pasukannya, Subang Protap FT tewas 1-3 kepada Hartamas Rebel FC.

Razzmir Ashraff atau Raz merupakan jenis penyerang yang anda perlukan jika anda mahu bermain dengan falsafah possession football. Jika anda memainkan Raz dalam sistem direct football, anda akan membunuh bakat penyerang Subang Protap FT ini.

Seorang penyerang yang tidak tamat dan selfless, Raz tidak mempunyai masalah untuk melakukan hold up play dan link up play untuk pasukannya. Beliau adalah jenis penyerang yang membuatkan rakan sepasukannya lebih menyinar – sehinggakan menjejaskan peluangnya sendiri untuk menjaringkan gol.

Aset utama Raz adalah pecutannya (acceleration). Pecutan beliau dari kedudukan pegun sangat menakutkan (bagi pertahanan lawan) sekaligus membuatkan beliau penyerang yang sangat sukar dikawal secara man-to-man marking.

7. Muhammad Farhan bin Khairul Anuar (Axis O2 PJ FC)

Posisi: Penyerang sayap
Umur: 20

Aksi Farhan ketika cuba melepasi asakan keras pertahanan Empayar Bangi FC. Axis O2 PJ FC menang 1-0.

Seorang lagi penyerang sayap yang menyerlah dalam SCL2017, Muhammad Farhan merupakan pemain satu-satunya anggota kesebelasan utama finalis SCL2017, Axis O2 PJ FC yang masih belum lahir ketika majoriti rakan sepasukannya sudah habis sekolah rendah.

Di posisi sayap kiri, Farhan gemar masuk ke dalam untuk memberi ruang bek kiri Axis O2, Fahrul Hafiz membuat overlapping run dan memberikannya peluang untuk memporak-perandakan pertahanan tengah pasukan lawan melalui gelecekannya.

3 gol yang dijaringkan beliau sepanjang kejohanan adalah bukti kualiti beliau sebagai seorang inverted winger. Jika Axis O2 PJ FC berjaya muncul juara SCL2017, aksi beliau mungkin akan dapat dilihat dalam Piala FA 2018 pula.

8. Wan Muhammad Iqmal (Hartamas Rebel FC)

Posisi: Penyerang sayap, Pemain no.10, Pemain tengah
Umur: 19

Seperti Farhan (Axis O2 PJ FC), Wan Muhammad Iqmal adalah bintang muda dalam Hartamas Rebel FC, pasukan yang rata-ratanya dianggotai oleh bekas pemain-pemain profesional Liga Malaysia.

Mampu bermain di kawasan sayap, Iqmal paling menyerlah bermain di posisi no.10 – sebagai perancang yang menghubungkan jentera serangan dengan jentera tengah.

Fizikalnya kecil. Tetapi kawalan bolanya cukup baik. Beliau juga kreatif mengatur serangan pasukan disamping mempunyai ketenangan yang bagus ketika memegang bola. Mana-mana pasukan yang mempunyai Iqmal di tengah pasti akan mempunyai penguasaan bola yang tinggi.

9. Amirul Ashraff (PIB FC)

Posisi: Pemain no.10, Pemain tengah
Umur: 22

Aksi Amirul Ashraff (kiri) ketika menentang Shah Alam United FC. PIB FC menang 2-0 dalam perlawanan ini.

Bermain untuk pasukan yang rata-ratanya dianggotai oleh graduan akademi PKNS FC yang tidak mendapat tempat pasukan senior, Amirul Ashraff beruntung kerana dapat meneruskan perkembangan karier bola sepaknya bersama finalis SCL2017, PIB FC.

Dalam senarai ini, kami menyenaraikan Ku Muhamad Nazran dan Wan Muhammad Iqmal sebagai pemain tengah yang bagus. Amirul juga bermain di posisi sama. Ketiga-tiga mereka mempunyai fizikal yang kecil, pantas, dan pandai menggelecek.

Tetapi pemain berjersi no.20 PIB FC ini mempunyai gaya permainan yang berlainan. Amirul adalah versi pemain no.10 yang mendapat ‘suntikan steroid’.

Beliau tidak pernah berhenti berlari – seperti Energizer Bunny. Beliau rajin turun membantu pertahanan ketika PIB FC hilang penguasaan bola dan pantas naik ke atas ketika PIB FC melancarkan serangan.

Menugaskan defensive midfielder anda untuk man-marking pemain ini adalah kerja sia-sia kerana intensiti permainan Amirul sangat-sangat tinggi.

10. Gan Jay Han (Klang Southern FC)

Posisi: Bek kanan, Pemain tengah
Umur: 24

Pernah dipilih oleh Nidzam Jamil untuk mewakili Malaysia ketika 2017 World University Games di Taiwan, Gan Jay Han merupakan bek kanan yang dibawa masuk oleh pengurus Klang Southern FC untuk menyelesaikan masalah pertahanannya yang selalu bocor di sebelah kanan.

Tenang ketika memegang bola kerana selalu bermain di posisi pemain tengah, Gan turut mempunyai upper body strength yang membuatkan beliau sukar dijatuhkan oleh pihak lawan.

Bekas graduan Sekolah Sukan Bukit Jalil ini hilang sebentar dari radar skuad Harimau Muda kerana melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat, tetapi Gan kini kembali untuk mencari peluang bermain bersama pasukan-pasukan profesional.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN