10 Pemain Liga Super Perak Berasal Dari Skuad Piala Presiden Mereka

Pasukan Perak The Bos Gaurus telah mengumumkan barisan pengurusan dan pemain yang akan menggalas cabaran dalam saingan Liga Super 2018 pada 6 Disember lalu.

Pada pengumuman yang dilakukan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Dato’ Seri Abdul Puhat Bin Mat Nayan itu, Perak mengekalkan hampir sebahagian besar pemain utama musim lalu.

Hanya Thiago Junio De Aquino, Shahrom Kalam, Yashir Pinto dan Zaquan Adha Abdul Radzak, merupakan pemain tonggak musim lalu yang tidak dilanjutkan kontrak mereka.

Selain mengekalkan dua pemain import dari Brazil iaitu Gilmar Jose Da Silva Filho dan Leandro Dos Santos Oliveira, Perak tidak melakukan rombakan besar-besaran seperti kebiasaan apabila hanya membawa masuk tiga pemain tempatan yang baru.

Mereka yang dimaksudkan ialah Brendan Gan, Rafiuddin Roddin dan Norhakim Hassan.

Melihatkan kepada senarai pemain musim 2018, Perak dibarisi 10 orang pemain yang juga merupakan bekas pemain Piala Presiden Perak dan dua orang pemain yang dinaikkan pangkat dari skuad Piala Presiden 2017 iaitu Muhammad Nasrullah Bin Abdul Aziz dan Muhamad Rizal Che Aziz.

Mari kita kenali 10 pemain yang merupakan produk lepasan skuad Piala Presiden Perak itu:

1) Muhammad Hafizul Hakim Bin Khairul Nizam Jothy 

Penjaga gol utama buat Perak bagi musim 2016 dan 2017 ini sudah berjaya merealisasikan impian beliau untuk menyarung jersi skuad kebangsaan berikutan prestasi baik ditampilkannya pada dua musim terakhir ini.

Pemain berusia 24 tahun ini merupakan penjaga gol bagi skuad Piala Presiden Perak pada tahun 2011 dan 2012. Beliau kemudiannya dipanggil bagi membarisi skuad Harimau Muda B sebelum kembali ke pangkuan Piala Presiden Perak 2014.

Antara kejayaan yang dikecapi pemain berketinggian 190 cm ini adalah menjuarai Piala Presiden 2012 dan 2014 serta memenangi pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2014 di Perlis.

2) Khairul Amri Salehudin

Beliau merupakan produk lepasan skuad Piala Presiden paling ‘senior’ dalam pasukan apabila membarisi skuad muda Perak bermula tahun 2006 hingga 2008.

Khairul Amri kemudiannya diserapkan ke skuad Liga Super Perak pada tahun 2009 dan mengambil keputusan untuk berhijrah ke Pulau Pinang bagi musim 2014.

Penjaga gol berusia 28 tahun ini kembali bersama skuad The Bos Gaurus pada musim ini dan dikekalkan untuk musim hadapan bagi menjadi ‘backup’ kepada Hafizul Hakim.

3) Amirul Azhan Bin Aznan

Pemain pertahanan kanan ini mempunyai ‘work rate’ yang tinggi sehingga berjaya mencuri tumpuan bekas pengendali skuad kebangsaan, Nelo Vingada.

Amirul Azhan yang juga berusia 24 tahun beraksi bersama skuad Piala Presiden pada tahun 2012 hingga 2014 sebelum beraksi bersama skuad senior setahun kemudian.

Seperti rakan baiknya Hafizul Hakim, Azhan juga menikmati kejuaraan Piala Presiden 2012 dan 2014 serta pingat emas SUKMA 2014.

4) Muhamad Syazwan Bin Zaipol Bahari

Kredit foto: Stadiumastro

Pemain pertahanan tinggi lampai ini beraksi bersama skuad Piala Presiden 2016. Selepas tamat saingan piala tersebut, mendiang Karl Heinz Weigang gemar untuk membawa Syazwan menjalani latihan dan menyertai skuad Liga Super.

Syazwan, 22 tahun, juga beberapa kali diturunkan oleh mendiang Weigang pada beberapa perlawanan Liga Super antaranya ketika bertemu Pulau Pinang di Ipoh dan Kedah di Stadium Darul Aman.

Musim ini beliau telah dipinjamkan ke Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) bagi mendapat lebih banyak peluang untuk beraksi.

Difahamkan beliau terpilih untuk membarisi skuad B-23 kebangsaan beraksi di Kejuaraan Bola Sepak AFC di China pada bulan Februari nanti.

5) Shahrul Mohd Saad

Pertahanan kental yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Anderson ini sudah merasai pengalaman beraksi di skuad Piala Presiden Perak ketika beliau masih di bangku persekolahan.

Sebaik sahaja tamat persekolahan, Shahrul dipanggil untuk menyertai Harimau Muda B pada tahun 2011 dibawah kendalian Ismail Ibrahim.

Sebelum menyertai pasukan Liga Super Perak pada musim 2016, pemain berusia 24 tahun itu beraksi untuk pasukan Felda United.

6) Muhammad Rafiq Faeez Bin Muhammad Fuad

Rafiq bersama-sama Amirul Azhan berjaya mencipta jentera pertahanan yang mantap dalam meraih kejuaraan sewaktu skuad muda Perak mencipta kejayaan demi kejayaan.

Beliau turut diberikan tanggungjawab bagi menggalas tugas sebagai ketua pasukan pada tahun 2013 hingga 2014 dan kemudiannya diserapkan ke skuad Liga Super.

Namun, kecederaan berpanjangan yang dihadapinya merencatkan peluang untuk menembusi skuad senior. Bagi menghadapi musim 2018, pihak PAFA masih menaruh kepercayaan kepada Rafiq untuk membuktikan kualiti sebenar yang dimiliki pemain pertahanan ini.

7) Kenny Pallraj A/L Davaragi

Tidak keterlaluan untuk mengatakan pemain ini adalah jelmaan K.Nanthakumar.

Seorang pemain yang mampu beraksi di pelbagai posisi di bahagian tengah, Kenny bermula pada tahun 2011 di skuad Piala Presiden. Kenny kemudiannya beraksi untuk Harimau Muda A dari tahun 2013 hingga 2015.

Kenny merupakan salah seorang daripada pemain yang memberikan sumbangan berkesan ketika Perak menjuarai Piala Presiden 2012.

Beliau mula beraksi bersama skuad Liga Super Perak pada musim 2016 yang ketika itu pada mulanya dibimbing Syamsol Mohd Saad.

8) Ahmad Khairil Anuar Bin Ahmad Zamri

Kredit foto: Goal.com

Pemain berusia 22 tahun yang mesra dengan panggilan Beto ini mempunyai potensi yang baik untuk lebih meningkat dalam bola sepak.

Beraksi bersama skuad Piala Presiden 2014 dan 2015, beliau kini merupakan salah seorang prospek masa hadapan yang seharusnya diberikan perhatian.

Pernah merasai kejuaraan Piala Presiden dan SUKMA 2014, Beto juga berjaya membantu kontinjen Perak mempertahankan pingat emas SUKMA ketika di Sarawak pada tahun 2016.

9) Mohamad Nasir Bin Basharudin

Nasir merupakan pemain yang paling lama beraksi buat pasukan Liga Super Perak ketika ini. Beliau telah membarisi skuad Piala Presiden pada tahun 2010.

Selepas ketiadaan Shahrom Kalam yang akan mewakili Felcra United musim hadapan, pemain berusia 27 tahun ini dilihat akan kembali menggalas tanggungjawab sebagai ketua pasukan Perak The Bos Gaurus.

10) Khairul Asyraf Bin Sahizah

Seorang pemain yang sebenarnya mempunyai kualiti yang sangat baik sebagai seorang penyerang. Namun kecederaan berpanjangan yang dihadapi sedikit sebanyak membantutkan usaha beliau untuk terus berkembang.

Keadaan sama yang seperti Rafiq, Khairul Asyraf turut diberikan peluang oleh pihak pengurusan untuk membuktikan sesuatu.

Khairul Asyraf merupakan penyerang yang prolifik ketika bersama skuad Piala Presiden pada tahun 2012 hingga 2014. Beliau dan Shahrel Fikri boleh diumpamakan sebagai gandingan penyerang masa depan terbaik buat Perak.

Gandingan Khairul Asyraf dan Shahrel Fikri juga berjaya meranapkan impian Johor untuk menjuarai SUKMA 2014 di Perlis apabila mereka membantu Perak menang 3-1 pada perlawanan akhir.

Kredit foto: Perak TBG

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN