Juventus menjaringkan dua gol di dalam tempoh dua minit untuk memastikan derbi d’Italia pada musim ini berakhir dengan penuh dramatik.
The Old Lady hampir pasti meninggalkan San Siro dengan tanga kosong apabila mereka dikejutkan oleh kebangkitan Inter Milan yang hanya beraksi dengan sepuluh pemain.
Juventus telah menjuarai enam kejuaraan Serie A secara berturut-turut sebelum musim ini, dan dominasi tersebut kelihatan terancam selepas gol sendiri oleh Andrea Barzagli.
Gol tersebut seperti memberi Napoli di kedudukan kedua Serie A kelebihan, apabila membuat perhitungan dengan Fiorentina pada awal pagi nanti.
Namun demikian, inilah mungkin sebabnya derbi d’Italia disifatkan derbi terbesar di dalam bola sepak Itali.
Juan Cuadrado dan Gonzalo Higuain masing-masing memastikan satu gol pada minit ke-87 dan ke-89 perlawanan untuk memastikan Juventus kekal menduduki tangga teratas Serie A.
Juventus sebenarnya mendahului perlawanan melalui jaringan Douglas Costa seawal minit ke-13. Dua minit kemuadian, Matias Vecino dilayangkan kad merah, membuatkan Inter beraksi hanya dengan 10 pemain sepanjang 75 minit baki perlawanan.
Ia sepatutnya perlawanan mudah buat Juventus dengan kelebihan yang mereka miliki, tetapi sebaliknya yang berlaku.
Mungkin kerana terlalu yakin dan merasa diri selesa, Inter bangkit menyamakan kedudukan melalui Mauro Icardi yang menanduk masuk hantaran Joao Cancelo.
Dan gol oleh Icardi itu pantas mengubah rentak perlawanan. Keadaan semakin parah apabila Barzagli gagal mengawal hantaran lintang mudah, sehingga tertolak ke gol sendiri untuk Inter mendahului 2-1 pada minit ke-65 perlawanan.
Jaringan tersebut bagaikan mengejutkan Juventus daripada lena, dan Max Allegri pantas melakukan perubahan dalam usaha menyelamatkan perlawanan daripada kekalahan.
Bermula daripada sepakan percuma Paulo Dybala yang diselamatkan oleh Samir Handanovic, membenarkan Cuadrado melakukan hantaran lintang sekali lagi ke dalam kotak penalti Inter.
Namun bola terkena Milan Skriniar, untuk satu lagi gol sendiri, kali ini untuk gol penyamaan Juventus.
Higuain kemudiannya melengkapkan kebangkitan Juventus untuk memastikan mereka terus menggungguli takhta Serie A, berkelebihan empat mata dengan baki tiga perlawanan.