Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh La Gazzetta dello Sport, Juventus masih merupakan pasukan yang mempunyai bajet gaji yang paling besar di Itali.
Secara keseluruhan, bajet gaji di Serie A meningkat €33 juta berbanding musim lepas.
Berikut adalah pemilik 10 gaji tertinggi di Itali. Nombor yang kami tunjukkan sudah ditolak cukai pendapatan siap-siap.
10. €2.7 juta setahun – Ivan Perisic (Inter Milan)
Inter Milan membayar €15 juta untuk mendapatkan khidmat Perisic dari naib juara Bundesliga 2014/2015, VfL Wolfsburg pada musim panas lepas.
Di Inter, Perisic menerima €56,000 seminggu selepas cukai, ke-8 tertinggi di Inter Milan dan ke-10 tertinggi di Serie A.
Rakan sepasukannya, Miranda turut menerima gaji €56,000 seminggu.
9. €2.8 juta setahun – Alex Sandro (Juventus)
Sama seperti Perisic, Alex Sandro baru berpindah ke Juventus dari FC Porto.
Juventus dilaporkan membayar €24 juta kepada FC Porto untuk mendapatkan bek kiri yang bakal menjadi pengganti Patrice Evra yang sudah tua.
Di Juventus, Alex Sandro menerima gaji ke-9 tertinggi di Itali, iaitu €58,300 seminggu selepas cukai. Ini peningkatan 13 kali ganda daripada gaji yang beliau terima di FC Porto iaitu €4,500 seminggu.
Turut menerima gaji sama tinggi dengan Alex Sandro adalah Freddy Guarin (Inter Milan), Stephan Lichtsteiner (Juventus) dan Kevin Strootman (AS Roma).
8. €2.9 juta setahun – Gervinho (AS Roma)
Pemain sayap AS Roma, Gervinho adalah pemain yang menerima gaji ke-8 tertinggi di Itali.
Gervinho dilaporkan menerima €60,400 seminggu sehingga kontraknya tamat pada 2018 nanti. Ini adalah penurunan ketara daripada gajinya di Arsenal.
Ketika di Arsenal, Gervinho menerima €4.9 juta setahun atau €102,000 seminggu.
7. €3.0 juta setahun – Paulo Dybala (Juventus), Luiz Adriano (AC Milan)
Palermo mencatatkan untung hampir 3 kali ganda apabila Juventus membayar €30 juta untuk mendapatkan khidmat Paulo Dybala.
Di Juventus, Dybala menerima €62,500 seminggu sehingga tahun 2020.
Rekrut terbaru AC Milan, Luiz Adriano juga menerima gaji sama. Walaupun yuran perpindahannya hanya 25% daripada jumlah yuran perpindahan Dybala.
Selain Dybala dan Adriano, antara pemain Serie A yang menerima gaji ke-7 tertinggi di Itali adalah: Stevan Jovetić (Inter Milan), Juan Cuadrado (Juventus), Hernanes (Juventus), Wojciech Szczesny (AS Roma), Marek Hamsik (Napoli) dan Nigel de Jong (AC Milan).
6. €3.2 juta setahun – Radja Nainggolan, Miralem Pjanic (AS Roma)
AS Roma membuat pembelian bijak dengan membayar €14 juta kepada Cagliari untuk mendapatkan Radja Nainggolan, sedangkan ketika itu nilai pasarannya adalah €17 juta.
Nainggolan menerima gaji €67,000 seminggu. Ke-6 tertinggi di Itali dan sesuai dengan statusnya sebagai pemain penting AS Roma.
Kehadiran Nainggolan di Roma membolehkan Miralem Pjanic fokus kepada tugas kreatif sahaja. Seperti Nainggolan, Pjanic turut menerima gaji €67,000 seminggu.
Antara pemain lain yang menerima €67,000 seminggu adalah Nemanja Vidic, Mauro Icardi, Rodrigo Palacio (Inter Milan) dan Juan Camilo Zúñiga (Napoli).
5. €3.5 juta setahun – Geoffrey Kondogbia (Inter Milan)
€40.2 juta adalah satu jumlah yuran perpindahan yang sangat besar untuk seorang defensive midfielder.
Tetapi kesanggupan Inter Milan untuk membeli Kondogbia pada inflated price daripada Sevilla dan menjadikannya pemain Inter Milan paling mahal menggambarkan kepentingannya kepada skuad Roberto Mancini.
Kondogbia menerima gaji €73,000 seminggu.
Tak keterlaluan untuk mengatakan Inter berjudi nasib dengan Kondogbia kerana:
- beliau belum teruji di Itali lagi.
- gaji beliau sudah setaraf pemain berpengalaman dan proven winner seperti Leonardo Bonucci, Giorgio Chiellini, Claudio Marchisio, Mario Mandzukic yang turut menerima gaji €73,000 seminggu.
Mohamed Salah (AS Roma), Carlos Bacca dan Ricardo Montolivo (AC Milan) turut menerima jumlah gaji sama.
4. €4.2 juta setahun – Edin Dzeko (AS Roma)
Pada mulanya Man City meminjamkan Edin Dzeko kepada AS Roma dengan bayaran pinjaman €4 juta.
Dalam kontrak pinjaman, Man City meletakkan klausa yang membolehkan AS Roma membeli Dzeko pada harga €11 juta sahaja.
Pada 1 Oktober 2015, Roma mengaktifkan klausa tersebut. Dzeko kini pemain tetap AS Roma dan menerima gaji €87,500 seminggu.
Ini adalah penurunan ketara daripada gaji yang diterimanya di Manchester City iaitu €215,000 seminggu.
3. €4.5 juta setahun – Paul Pogba (Juventus)
Sesuai dengan statusnya sebagai salah seorang pemain tengah berkelas dunia, Paul Pogba merupakan pemain bergaji paling tinggi di Juventus.
Pogba menerima €93,750 seminggu – sama tinggi dengan gaji yang diterima oleh Antonio Valencia di Manchester United.
2. €5.5 juta setahun – Gonzalo Higuain (Napoli)
Sebagai pemain paling penting untuk Napoli, Gonzalo Higuain memang selayaknya menjadi pemain yang mempunyai gaji paling tinggi di Napoli dan ke-2 tertinggi di Itali.
Higuain menerima €115,000 seminggu. Gajinya sahaja sudah mencakupi 7% daripada jumlah bajet gaji tahunan Napoli, paling tinggi daripada mana-mana pemain Serie A.
Gaji yang diterima oleh Higuain di Napoli jauh lebih tinggi daripada apa yang diterimanya ketika di Real Madrid. Ketika di Real Madrid, Higuain menerima €62,500 seminggu.
Patutlah Higuain sanggup keluar dari Real Madrid.
1. €6.5 juta setahun – Daniele de Rossi (AS Roma)
Status pemain yang mempunyai gaji paling tinggi di Itali menjadi milik kapten AS Roma, Daniele de Rossi. De Rossi menerima gaji €135,000 seminggu.
Sebagai perbandingan, Francesco Totti hanya menerima €52,000 seminggu.
Inilah harga yang perlu dibayar untuk mengekalkan de Rossi di Roma. Dan berdasarkan persembahannya pada setiap musim, Roma membuat keputusan betul untuk menjadikan de Rossi pemain bergaji paling tinggi di Itali.
Baca juga: 10 Jersi Bola Sepak Paling Laris Di Dunia Sepanjang 2015