Jose Mourinho telah berkelana hampir ke serata eropah dan muncul sebagai antara pengurus paling berjaya dengan kejuaraan demi kejuaraan dimenangi bersama kelab yang dikendalikannya.
Namun demikian, pengurus dari Portugal ini mempunyai rekod melepaskan pemain terlampau awal sebelum waktunya.
Kali ini kami kongsikan 10 pemain yang disenaraikan oleh Sky Sports yang penah dijual di era Jose Mourinho, namun tampil kembali menyinar bersama kelab baharu masing-masing.
Romelu Lukaku
Mourinho dan Lukaku disatukan kembali pada musim ini selepas penyerang itu melengkapkan perpindahan bernilai £75 juta daripada Everton.
Ia adalah pelaburan yang berbaloi buat Mourinho setelah penyerang antarabangsa Belgium itu menjaringkan 11 gol dalam 10 penampilan pertamanya untuk Manchester United.
Namun kisahnya amat berbeza pada 3 tahun yang lalu. Lukaku hanya beraksi di dalam 2 perlawanan ketika di bawah kendalian Mourinho di Chelsea sebelum dilepaskan ke Everton untuk mendapatkan minit beraksi secara lebih kerap.
Hasilnya, Lukaku menjaringkan 87 gol dalam 166 penampilan untuk Everton dan ini membuatkan Mourinho kembali yakin bahawa Lukaku sudah bersedia untuk mengetuai jentera serangannya di United.
Kevin De Bruyne
Manchester City terpaksa membelanjakan £54.5 juta untuk membawa De Bruyne kembali ke EPL hanya selepas semusim Chelsea melepaskan pemain ini ke Wolfsburg.
Mourinho pernah melabel De Bruyne sebagai ‘budak yang menyedihkan’ selepas mengkritik usaha pemain itu ketika sesi latihan. De Bruyne tampil dalam 3 perlawanan pertama Chelsea pada musim 2013-14, sebelum dijual ke Wolfsburg dengan harga £18 juta pada bulan yang sama.
Pada musim lalu, De Bruyne sudah pun merekodkan 18 bantuan gol untuk skuad Pep Guardiola, dan menunjukkan prestasi yang memberangsangkan untuk membantu City berada di puncak liga setakat ini.
Leonardo Bonucci
Bekas pemain tengah Juventus yang kini bersama AC Milan ini pernah dianggap oleh Mourinho sebagai pemain tambahan dan tidak diperlukan ketika kedua-duanya bersama Inter Milan.
Bonucci kemudiannya menyertai Juventus pada harga £3.4 pada 2009, pada usia 22 tahun dan memenangi 6 kejuaraan Serie A bersama kelab dari Turin itu.
Selepas Juventus, pemain pertahanan antarabangsa Itali ini menyertai AC Milan pada jendela perpindahan musim panas yang lalu. Bonucci yang kini berusia 30 tahun disifatkan antara pemain pertahanan tengah terbaik di eropah pada hari ini.
Ryan Bertrand
Ryan Bertrand dianggap sebagai pemain yang tidak pernah mendapat tempat dalam pasukan kendalian Jose Mourinho.
Ketika usianya pada awal 20an, Bertrand sering dipinjamkan keluar bersama dengan pasukan lain.
Walaupun beraksi dalam perlawanan akhir UEFA Champions League pada 2012 dan berjaya membantu menewaskan Bayern Munich, pemain bek kiri ini akhirnya dijual ke Southampton pada 2014.
Bertrand yang kini berusia 27 tahun merupakan watak utama di Southampton.
Juan Mata
Juan Mata merupakan Pemain Terbaik Tahunan Chelsea untuk dua musim berturut-turut sebelum ketibaan Oscar dan Jose Mourinho.
Pada jendela perpindahan Januari seterusnya, Mourinho membenarkan Mata untuk menyertai Manchester United.
Mata menjadi antara pemain penting di United sejak perpindahannya daripada Stamford Bridge. Kini pemain tengah antarabangsa Sepanyol itu kembali digandingkan dengan Mourinho di Old Trafford.
Skripnya agak berbeza kali ini. Setakat ini, pemain berusia 29 tahun tersebut telah diturunkan dalam 6 daripada 7 perlawanan EPL oleh Jose Mourinho untuk Manchester United pada musim 2017-18.
David Luiz
Mourinho melepaskan David Luiz ke Paris Saint-germain pada 2014 pada harga £50 juta, beberapa bulan selepas persembahan buruk bersama Brazil dalam kekalahan 7-1 kepada Jerman di Piala Dunia 2014.
Namun Antonio Conte membuat keputusan yang mengejutkan ramai pemerhati bola sepak pada masa itu dengan membawa kembali Luiz ke Stamford Bridge setelah dilantik untuk mengambil tempat Mourinho di Chelsea.
Di bawah sistem bek bertiga Conte, Luiz tampil sebagai antara pemain penting dalam dominasi Chelsea menjuarai EPL pada musim lalu.
Mohamed Salah
Salah dibawa oleh Mourinho ke Stamford Bridge namun tidak pernah diberikan peluang untuk menyinar dengan sewajarnya. Pemain antarabangsa Mesir ini kemudiannya dipinjamkan ke Fiorentina sebelum menyertai Roma.
Di Serie A, Salah membuktikan keupayaannya dengan 15 gol dan 11 bantuan gol untuk meyakinkan Jurgen Klopp memancing Salah ke Anfield pada harga £34 juta.
Pemain yang membawa Mesir ke Piala Dunia 2019 ini melalui sepakan penalti untuk menewaskan Congo 2-1 beberapa hari yang lalu bermula dengan agak baik di Liverpool, menjaringkan 4 gol dan menghasilkan 1 bantuan gol dalam 7 penampilan di EPL setakat ini.
Oriol Romeu
Oriol Romeu yang kini bersama Southampton hanya berusia 23 tahun ketika Mourinho melepaskan beliau pada 2015. Namun kini, Romeu telah menjadi watak penting di bahagian tengah Southampton.
Bekas pengurus, Andre Villas-Boas pernah berkata Romeu akan mempunyai masa hadapan yang cerah ketika diperkenalkan bersama Lukaku pada 2011, selepas mengambil keputusan meninggalkan Barcelona.
Bekas pengurus Southampton, Claude Puel turut pernah mendakwa pemain berusia 25 tahun ini mempunyai persamaan dengan pemain tengah Chelsea pada hari ini, N’golo Kante.
Ezequiel Garay
Ezequiel Gray dilepaskan oleh Mourinho ketika kedua-duanya berada di Real Madrid pada usia 24 tahun.
Pemain antarabangsa Argentina itu menunjukkan prestasi yang cemerlang sejak menyertai Benfica sebelum kembali ke La Liga bersama Valencia.
Pemain pertahanan tengah ini merupakan tongak utama di Mestalla dan dikaitkan dengan perpindahan ke Chelsea pada musim panas yang akan datang oleh media di Itali.
Filipe Luis
Felipe Luis mendapat perhatian Mourinho selepas membantu Atletico Madrid bergelar juara La Liga pada musim 2013-14.
Namun Luis hanya beraksi selama semusim di Stamford Bridge sebelum kembali ke Atletico Madrid. Di London, Luis hanya tampil sebanyak 15 kali bersama Chelsea, dan pemain pertahanan Brazil ini sukar menyesuaikan diri dengan kehidupan di England.
Musim lalu, Luis tampil sebanyak 48 kali bersama Atletico Madrid dan membantu pasukannya untuk layak ke peringkat separuh akhir UEFA Champions League.
Atletico Madrid turut mempunyai rekod pertahanan terbaik berbanding Barcelona dan Real Madrid sejak Luis kembali menyertai mereka.
Rumusan
Apa pendapat anda? Adakah Jose Mourinho mempunyai masalah untuk menilai pemain? Adakah pemain-pemain tersebut tidak sesuai dengan taktikal dan falsafah yang diterapkan oleh Mourinho?
Atau adakah Jose Mourinho mempunyai sikap kurang sabar untuk membentuk pemain muda?