Pada musim 2007, rekod statistik Premier League mendedahkan Arsenal menjaringkan 40% gol mereka pada 15 minit terakhir perlawanan.
Pengurus Arsenal, Arsene Wenger, berkata statistik tidak menipu dan bersetuju ia ada kena-mengena dengan tahap stamina yang dimiliki oleh pemain-pemainnya.
“Pemain-pemain kami ada stamina semulajadi. (Mathieu) Flamini, (Cesc) Fabregas dan (Aliaksandr) Hleb bukan pelari pecut. Mereka adalah pelari jarak jauh.”
Komen Wenger ini menarik perhatian kami. Ia menimbulkan persoalan: apa akan terjadi jika pemain bola sepak profesional berlari marathon. Bolehkah mereka menghabiskan larian 42km sehingga garisan penamat?
Pemain bola sepak berlari maraton?
Secara puratanya, larian seorang pemain bola sepak yang bermain 90 minit akan meliputi jarak 10-11km.
Untuk pengetahuan anda, 10-11km ini adalah lebih kurang jarak yang perlu ditempuh oleh setiap peserta Asics City Relay iaitu 10.5km.
Dan berdasarkan rekod masa yang dicatatkan oleh peserta-peserta Asics City Relay di Singapura pada Ogos 2015 yang lepas, mereka mengambil masa antara 35-60 minit untuk menghabiskan jarak 10.5km.
Ini bermakna peserta Asics City Relay Singapore yang paling lambat pun dapat menghabiskan larian 30 minit lebih pantas daripada pemain bola sepak profesional.
Tetapi itu tidak bermakna pemain bola sepak profesional akan kalah jika mereka menyertai Asics City Relay.
Dalam perlawanan bola sepak, 67% daripada jarak 10.5km ini (7km) dilakukan dengan berjalan dan berjoging. Selebihnya dilakukan dengan pecutan 10-40m, larian tanpa bola dan larian membawa bola.
Ini bermakna, tiada cara lain untuk mengukur kebolehan pemain bola sepak berlari marathon selain mereka sendiri menyertai Asics City Relay.
10 pemain bola sepak yang pernah berlari maraton
Ada beberapa pemain bola sepak yang pernah menyertai maraton penuh yang mempunyai jarak 42.2km. Dan rekod masa mereka tidaklah begitu menghampakan.
10. Edwin van der Sar (catatan masa 04:19:16)
Pada ketinggian 1.97m, tiada siapa menyangka Edwin van der Sar mampu menghabiskan larian maraton 42.2km tetapi beliau berjaya membuktikan sebaliknya.
Karier bola sepaknya mungkin tidak memerlukan beliau banyak berlari. Tetapi semasa acara New York Marathon pada tahun 2011, bekas penjaga gol Manchester United ini menamatkan larian dengan catatan masa 4 jam, 19 minit dan 16 saat.
9. Steve Potts (catatan masa 04:04:07)
Bekas pemain pertahanan West Ham era 90-an ini giat menjalankan kerja-kerja kebajikan sejak bersara daripada bola sepak pada 2003.
Semasa acara London Marathon pada tahun 2008, Steve Potts berlari untuk mengumpul dana sumbangan sebanyak £24,052.99. Beliau menamatkan larian dengan catatan masa 4 jam, 4 minit dan 7 saat.
8. Pavel Nedved (catatan masa 03:50:02)
Pavel Nedved mula-mula berjinak dengan acara larian jarak jauh selepas bersara pada 2010 dengan menyertai acara separa-marathon (21km).
Kemudian beliau menyertai acara Prague Marathon pada tahun 2012. Lagenda Juventus ini menamatkan larian dengan catatan masa yang memuaskan iaitu 3 jam, 50 minit dan 02 saat.
7. Gary Speed (catatan masa 03:49:22)
Bekas pengurus skuad kebangsaan Wales yang mati bunuh diri, Gary Speed pernah menyertai acara London Marathon pada 2010 untuk membantu mengumpul dana untuk kajian kanser yang didukung oleh yayasan kebajikan bekas bosnya, Sir Bobby Robson Foundation .
Speed menamatkan larian dengan masa 3 jam, 49 minit dan 22 saat.
6. Michael Owen (catatan masa 03:45:43)
Dalam acara London Marathon 2014, Michael Owen merupakan pelari selebriti yang mencatatkan masa larian paling pantas iaitu 3 jam, 45 minit dan 43 saat.
Dengan masalah kecederaan hamstring yang sering berulang di hujung karier bola sepaknya, kami kagum Owen berjaya menamatkan larian tanpa sebarang kecederaan.
5. Dwight Yorke (catatan masa 03:31:56)
Lagenda penyerang Manchester United, Dwight Yorke menamatkan lariannya dalam acara London Marathon 2011 dengan masa yang mengagumkan iaitu 3 jam, 31 minit dan 56 saat.
Apa yang lebih mengagumkan adalah ketika pelari marathon mengambil masa untuk berehat selepas tamat larian, Yorke dilihat masih bertenaga untuk berparti di kelab malam selepas tamat acara London Marathon 2011.
4. Muzzy Izzet (catatan masa 03:22:36)
Turut menyertai London Marathon 2011 bersama Dwight Yorke adalah bekas pemain Leicester City era 90-an, Muzzy Izzet. Izzet mencatat masa 3 jam, 22 minit dan 36 saat.
3. Kevin Kilbane (catatan masa 03:14:44)
Bekas pemain sayap kiri Everton dan Ireland, Kevin Kilbane pernah menyertai acara London Marathon 2013 untuk mengumpul dana sumbangan untuk Yayasan Down’s Syndrome United Kingdom dan Ireland.
Kilbane mencatat masa yang baik, 3 jam, 14 minit dan 44 saat.
2. Christian Dailly (catatan masa 03:06:26)
Turut sama menyertai London Marathon 2013 bersama Kevin Kilbane adalah bekas hero West Ham era 2000-an kelahiran Scotland, Christian Dailly.
Dailly jauh meninggalkan Kilbane dengan catatan masa 3 jam, 6 minit dan 26 saat.
1. Luis Enrique (catatan masa 02:58:08)
Pelari marathon paling pantas dari kalangan pemain bola sepak sehingga kini adalah bos Barcelona, Luis Enrique.
Enrique turut pernah menyertai acara London Marathon pada tahun 2005. Beliau bukan sahaja berjaya mencatat masa paling pantas di kalangan 9 pelari lain (03:14:09), malah berjaya memperbaikinya setahun kemudian di Amsterdam Marathon (3:00:19).
Paling hebat sehingga kini, beliau adalah satu-satunya pelari marathon dari kalangan pemain bola sepak yang mencatat masa bawah 2 jam apabila mencatat masa 2 jam, 58 minit dan 08 saat di Florence Marathon 2007.
Setahun kemudian pada 2008, Enrique melengkapkan pula larian ultra-marathon di Gurun Sahara, Marathon des Sables sejauh 260km!
Kesimpulan
Berdasarkan rekod rasmi yang dicatat oleh 10 pemain bola sepak ini, jelas sekali mereka mampu menyaingi pelari-pelari jarak jauh yang lain. Terutamanya Luis Enrique.
Mereka mungkin tidak mampu menyaingi rekod dunia 2:02:57 yang dicatat oleh Dennis Kimetto dari Kenya, tetapi kami berminat untuk melihat Dennis Kimetto bermain bola sepak pula dan lihat sejauh mana kemampuannya.
Baca juga: 10 Pemain Yang Mempunyai Kekuatan Kaki Kanan Dan Kiri Secara Semula Jadi