Percaya atau tidak, bola sepak dan muzik itu saling memerlukan.
Perkara ini boleh dilihat pada kejohanan utama seperti Piala Dunia, terdapat lagu tema yang dicipta khas untuk kejohanan itu.
Jadi malam ini, artikel kajian santai ini akan bercerita mengenai bola sepak dan dikaitkan dengan lagu rock jiwang di negara kita.
Penulis mengerti emosi penyokong bola sepak Malaysia yang tidak menentu ketika ini kerana isu penangguhan jadual Liga Malaysia dan serinya Harimau Malaya menetang Mongolia.
Oleh itu, penulis hasilkan artikel kajian santai ini untuk anda. Okay jom mula!
10. Ramalanku Benar Belaka – Umbrella
Dalam bola sepak, melakukan ramalan itu adalah perkara yang biasa terutamanya mengenai keputusan perlawanan.
Ramalan itu dilakukan oleh semua pihak sama ada peminat, penganalisis atau pun sesiapa sahaja.
Atau pun, siapa yang tidak dapat lupa Paul Si Sotong yang dapat meneka dengan tepat keputusan perlawanan Piala Dunia 2010!
Apabila ramalan itu tepat maka terkeluarlah ayat dari mulut, “ramalanku benar belaka.”
9. Salam Sejahtera – Samudera
Bagi umat Islam, sinonim bagi salam sejahtera ada assalammualaikum yang bermaksud “salam sejahtera ke atas kamu”.
Bagi lagu ini, kami dedikasikan kepada para pemain beragama Islam yang cukup berjaya dalam bola sepak.
Mohamed Salah, Yaya Toure dan Mesut Ozil antara beberapa nama pemain beragama Islam yang cukup berjaya di peringkat dunia.
Tidak lupa juga kisah Nicholas Anelka yang menjawab salam ketika sesi ramah mesra pemain Chelsea di Malaysia pada 2011.
Penyokong yang mengucapkan salam kepada pemain itu nyata teruja dengan respon pantas dari pemain Perancis itu.
“Dalam tidur dalam terjaga,
Ku ucapkan salam sejahtera.”
8. 1000 Tahun Takkan Mungkin – Bumiputra Rockers
Jika lagu Bumiputra Rockers ini menceritakan sukarnya untuk seorang kekasih menghuraikan betapa besarnya cinta pasangannya dalam tempoh 1000 tahun, kami kurangkan tempoh itu menjadi 100 tahun.
Tetapi, apa ada 100 tahun dengan bola sepak?
Ia adalah sumpahan bekas pengurus Benfica, Bela Guttmann pada tahun 1962 selepas disingkirkan oleh kelab tersebut walaupun menghadiahkan Benfica dengan kejuaraan Eropah.
Beliau telah menyumpah kelab itu untuk tidak akan memenangi sebarang gelaran Eropah.
Selepas 56 tahun dari sumpahan itu terhasil, Benfica masih belum merasai nikmat menjadi juara Eropah selepas kali terakhir dinikmati pada 1962.
Jadi, dalam 100 tahun tak akan mungkin Benfica menang kejuaraan Eropah.
7. Layu Di Hujung Mekar – Rio
Tajuk Layu Di Hujung Mekar ini boleh digambarkan sebagai layunya sebuah bunga disaat ianya hendak kembang mekar.
Dalam bola sepak, ia boleh dikaitkan dengan tewasnya sesebuah pasukan dalam perebutan takhta liga pada penghujung saingan liga.
Tergelincirnya Liverpool dari genggaman Premier League pada 2014 dan juga tumbangnya Pahang di hari terakhir Liga Super 2015 mereka kecewa untuk mendakap kejuaraan liga.
6. Pusara Di Lebuhraya – Ekamatra
Perpisahan yang teramat sakit adalah berpisah dengan seseorang yang pergi untuk selamanya.
Ketika ini, peminat Fiorentina cukup bersedih dengan kehilangan kapten mereka – Davide Astori.
Namun begitu seperti dalam lagu Pusara Di Lebuhraya, perjalanan masih perlu diteruskan oleh mereka yang masih hidup.
“Kini engkau tiada lagi,
Yang tinggal hanya mimpi,
Dan cintaku yang telah bersemadi.”
“Ku teruskan perjalanan,
Ku tinggalkan impian,
Ke arah tujuan cinta abadi.”
5. Love Hunters – Sambutlah Kasihku
Lagu ini paling sesuai untuk menggambarkan kesetiaan penyokong terhadap sesebuah pasukan untuk bertahun lamanya.
Walaupun pasukan mengalami masalah dalaman atau berprestasi buruk di padang, mereka akan setia bersama pasukan.
“Tak ku hiraukan panas mentari lagi,
Demi cinta ku rela menanti,
Takkan goyang walau badai kan melanda,
Seribu tahun ku tetap setia.”
4. Titian Hasrat – Samudera
Dalam bola sepak, terdapat sesetengah perkara yang telah tertulis memang bukan untuk milik mereka.
Seperti contoh, Steven Gerrard dengan kejuaraan dan juga Lionel Messi dengan kejuaraan di peringkat antarabangsa.
Walaupun titian hasrat cuba dibina oleh Gerrard dan Messi terhadap 2 perkara ini, namun ia tidak pernah berhasil.
Namun untuk Messi, beliau masih mempunyai peluang untuk berjaya ketika di Piala Dunia 2018.
“Titian hasrat cinta,
Antara kita,
Lebur di persimpangan,
Sebuah harapan.”
3. Bila Bunga Dipetik Orang – Sejati
Perpindahan pemain dari satu kelab ke satu kelab yang lain adalah satu perkara yang biasa.
Namun bagi kelab bersaiz sederhana atau kecil yang sering menjadi kelab penjual (selling club), melihat ‘bunga’ yang mereka jaga dipetik oleh kelab lain itu kadang kala cukup perit.
Jika tidak perit bagi pengurusan kelab, perit bagi penyokong mereka.
Lihat sahaja kecewanya penyokong Southampton apabila ‘bunga’ mereka sering dipetik oleh Liverpool sejak beberapa musim yang lalu – Sadio Mane dan Virgil Van Dijk misalnya.
“Aku mengharapkan kembalilah,
Wahai kau bunga,
Jangan pergi.”
2. Seksa – Ukays
Lagu yang pernah ‘meletup’ pada tahun 1994 boleh dikaitkan dengan bola sepak menerusi frasa ini:
“Dan tak duga kau jelma pula,
Menagih lagi janji lama.”
Frasa tersebut boleh dikaitkan dengan insiden beberapa pemain dan jurulatih di Liga Malaysia yang kembali ke bekas pasukan mereka untuk menuntut gaji yang belum dilunaskan.
Bagi mereka, itulah ‘janji’ yang belum lagi dilunaskan.
1. Gerhana Cinta Luka – Iklim
Lagu ini boleh dijadikan sebagai mesej untuk disampaikan kepada sesetengah kelompok penyokong yang terlalu mendesak atau demanding.
Semuanya adalah kerana frasa ini:
“Pintamu keterlaluan,
Mahligai puncak kayangan,
Tak bisa ku tunaikan.”
Apa lagi yang penyokong mahu?