10 Juara Eropah Yang Tampilkan Prestasi Buruk Di Peringkat Domestik

Tidak mudah untuk muncul juara eropah. Pertandingan Champions League atau Piala Eropah yang mula diperkenalkan mulai musim 1955/56 telah menampilkan banyak momen menarik.

Pertandingan ini telah menghasilkan banyak juara eropah. Namun demikian, tidak semua kelab bertanding dan muncul juara di eropah itu juga berjaya menyerlah di peringkat domestik.

Hakikatnya untuk muncul juara berganda domestik dan eropah itu sememangnya sukar, walaupun banyak juga pasukan berjaya melakukannya sebelum ini.

Berikut adalah 10 skuad juara eropah yang tampil buruk di pertandingan domestik masing-masing.

1. Real Madrid 1955/56

Ketika pertandingan kelab eropah pertama diadakan, Real Madrid melakukan kejutan apabila melangkaui jangkaan ramai tampil selaku juara pertandingan. Di peringkat domestik, mereka sekadar menduduki tangga ketiga walaupun Alfredo Di Stefano muncul penjaring terbanyak dengan 24 gol.

Real Madrid mengakhiri musim 10 mata di belakang juara Athletic Bilbao, dan sembilan mata di belakang Barcelona yang menduduki kedudukan kedua.

Di perlawanan akhir Piala Eropah, Real Madrid terlebih dahulu ketinggalan 2-0 kepada kelab Perancis, Reims, namun gol kemenangan Hector Rial melengkapkan kebangkitan Los Blancos di Parc des Princes untuk menang 4-3.

Kemenangan tersebut membantu Real Madrid menjadikan diri mereka dinasti bola sepak eropah pertama dengan lima kejuaraan berturut-turut.

2. Eintracht Frankfurt 1979/80

Walaupun berjaya menewaskan Bayern Munich di separuh akhir, diikuti Bayern Monchengladbach di perlawanan akhir Piala Eropah, Eintracht Frankfurt sebenarnya gagal mengulangi prestasi yang sama di saingan Budesliga pada musim 1979/80.

Malah Eintracht Frankfurt mengakhiri musim sekadar di kedudukan kesembilan – 18 mata di belakang Bayern Munich yang muncul juara.

Perjalanan Eintracht Frankfurt di pertandingan eropah pada musim tersebut turut berakhir dengan kejayaan dramatik.

Ketinggalan 3-2 secara agregat kepada Gladbach di perlawanan akhir, Fred Schaub menjaringkan gol pada minit ke-81 perlawanan untuk memastikan Piala Eropah milik mereka, sekaligus turut layak ke pertandingan sama pada musim berikutnya selaku juara bertahan.

3. Tottenham Hotspur 1983/84

Kejayaan Tootenham Hotspur di pertandingan Piala UEFA pada 1984 turut menyebabkan prestasi mereka di England merudum. Juara musim tersebut, Liverpool memiliki kelebihan 19 mata berbanding kelab London tersebut yang menamatkan musim di kedudukan kelapan.

Kedudukan tersebut sudah pasti tidak akan melayakkan mereka ke pertandingan eropah pada musim berikutnya jika tidak menewaskan Anderlecht di perlawanan akhir Piala UEFA.

Kelab Belgium, Anderlecht turut dihiasi kontroversi tersendiri apabila dikatakan berjaya mara ke perlawanan akhir dengan bantuan bookie. Di sebalik kontroversi tersebut, ia tidak menghalang perlawanan akhir berlangsung dengan sengit dan berakhir dengan 2-2.

Tottenham bagaimanapun lebih bersedia apabila perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti. Penjaga gol Tottenham, Tony Park muncul wira apabila menafikan sepakan Arnor Gudjohnsen (ayah Eidur Gudjohnsen – bekas pemain Chelsea).

4. Inter Milan 1993/94

Inter Milan tidak pernah jatuh dari divisyen utama Itali, Serie A sejak penubuhannya, Namun perkara itu hampir berlaku pada 1994, selepas Inter Milan memiliki hanya kelebihan satu mata berbanding pasukan di dalam zon penyingkiran.

Prestasi buruk Inter Milan di peringkat domestik tidak menjejaskan cabaran mereka di pertandingan eropah. Berjaya mara ke perlawanan akhir Piala UEFA, Inter muncul juara eropah apabila menewaskan Austria Salzburg dengan agregat 2-0.

5. Schalke 1996/1997

Saingan Bundesliga musim 1996/97 pasti mahu dilupakan oleh Schalke. Pada musim tersebut mereka menamatkan saingan di kedudukan ke-12, 28 mata di belakang juara Bayern Munich.

Kekecewaan di saingan domestik itu bagaimanapun sedikit sebanyak terubat apabila mereka berjaya menundukkan Inter Milan kendalian Roy Hodgson di perlawanan akhir Piala UEFA melalui penentuan sepakan penalti.

Schalke menang 1-0 di perlawanan pertama. Namun gol minit ke-84 oleh Ivan Zamarano di perlawanan timbal balik bermakna penentuan sepakan penalti akan menentukan siapa lebih layak bergelar juara.

Schalke menyempurnakan semua sepakan. Jens Lehmann juga muncul wira Schalke apabila menafikan Zamarano dan sepakan Aron Winter pula tersasar.

6. Real Madrid 1997/98

La Liga pada musim 1997/98 didominasi oleh Barcelona yang muncul juara dan menamatkan musim dengan kelebihan 11 mata ke atas Real Madrid.

Penjaring terbanyak Los Blancos, Fernando Morientes hanya mampu menyumbat 12 gol, manakala pengurus pasukan Jupp Heyncjes dipecat pada akhir musim walaupun berjaya membawa pulang kejuaraan Champions League pertama ke Estadio Santiago Bernabeu sejak 1966.

Mengambil prestasi hambar mereka di saingan liga, kejayaan kelapan di peringkat eropah boleh dianggap membanggakan. Real Madrid turut menyingkirkan juara bertahan Borussia Dortmund 2-0 secara agrehat di suku akhir, selain turut mengecewakan pasukan pilihan Juventus 1-0 di perlawanan akhir.

7. Real Madrid 1999/2000

Gagal di peringkat domestik sebelum menebus kekecewaan tersebut di peringkat eropah ibarat sudah menjadi tabiat buat Real Madrid. Los Blancos mengakhiri musim di La Liga di kedudukan kelima pada musim 1999/2000.

Sekali lagi pada musim tersebut kekecewaan itu dipadan dengan satu lagi mahkota eropah.

Dikenalikan oleh Vicente del Bosque dan disertai dengan momen dan prestasi luar biasa – ditampilkan oleh pemain seperti Raul, Fernando Redondo dan Roberto Carlos – Real Madrid menyingkirkan dua finalis musim sebelumnya.

Bayern Munich dikecewakan oleh Real Madrid di suku akhir. Manchester United pula menerima nasib yang sama di separuh akhir. Perlawanan akhir menemukan Real Madrid dengan sebuah lagi kelab Sepanyol, Valencia. Los Blancos denga mudah menang perlawanan tersebut 3-0.

8. Liverpool 2004/05

Pengalaman pertama Rafael Benitez di saingan Liga Perdana Inggeris tidak seperti yang diharapkan. The Reds menamatkan musim 2004/05 di tangga kelima di belakang seteru setempat, Everton.

Turut bersaing dengan anak buah Benitez adalah Bolton Wanderers yang mengumpul mata yang sama dengan mereka pada akhir musim.

Selain itu, skuad kendalian Rafael Benitez turut berada 37 mata di belakang juara, Chelsea. Namun demikian saingan di peringkat eropah menampilkan sisi Liverpool yang berbeza.

Berjaya membenam cabaran Chelsea di separuh akhir, Liverpool menghasilkan prestasi yang digelar ‘magis di Istanbul’ apabila bangkit dari ketinggalan 3-0 sebelum menang melalui penentuan sepakan penalti di perlawanan akhir Champions League..

9. AC Milan 2006/07

AC Milan kendalian Carlo Ancelotti pada 2006/07 boleh dianggap sebagai sebuah skuad yang kuat, namun tetap bergelut dengan prestasi di saingan Serie A. T

urut ditolak lapan mata akibat skandal Calciopoli memang tidak membantu, tetapi Rossoneri menamatkan keseluruhan musim 36 mata di belakang Inter yang muncul juara.

Seperti Real Madrid, AC Milan juga merupakan salah sebuah kelab yang mampu menyerlah di eropah; walaupun bergelut di peringkat domestik.

Pada musim 2006/07 mereka menewaskan Liverpool 2-1 di perlawanan akhir Champions League – membalas dendam akan kekalahan mengejut kepada lawan sama di Istanbul dua musim lalu.

10. Chelsea 2011/12

Pencapaian Chelsea di saingan Liga Perdana Inggeris pada musim 2011/12 adalah yang terburuk pada dekad tersebut. The Blues menamatkan saingan 25 mata di belakang sang juara Manchester United dan mengakhiri saingan di kedudukan keenam.

Di sebalik kekecewaan tersebut, Chelsea menampilkan karakter berbeza di pertandingan eropah. Di bawah kendalian Roberto Di Matteo, Chelsea berjaya memadam defisit 3-1 Napoli di peringkat 16 pasukan terbak, sebelum mereka membenam cabaran Benfica di suku akhir.

Selepas itu giliran Barcelona bimbingan Pep Guardiola menjadi mangsa di separuh akhir. Menang 1-0 di perlawanan pertama, Chelsea ketinggalan dua gol dan hanya dengan 10 pemain di perlawanan kedua di Nou Camp. Namun ia tidak menghalang The Blues dari bangkit dengan gol minit ke-91 perlawanan untuk melayakkan mereka ke perlawanan akhir.

Di perlawanan akhir, Bayern Munich mendominasi perlawanan yang berlangsung di tempat sendiri. Gol penyamaan babak akhir separuh masa kedua oleh Didier Drogba mengheret perlawanan ke masa tambahan. Kedua-dua pasukan masih buntu memburu jaringan memaksa perlawanan ditentukan melalui penentuan sepakan penalti yang berakhir dengan malam bersejarah buat Chelsea.

Penutup

Pasukan mana satukah bagi anda yang benar-benar mencipta sejarah di sebalik kegagalan mereka di peringkat domestik? Nyatakan pendapat anda melalui ruangan dan platform yang kami sediakan.

Kami juga mahu mendengarnya daripada anda.

 

Page Semuanya BOLA yang lama kini sedang menghadapi masalah. Jadi untuk terus membaca artikel-artikel menarik dan berkualiti, jangan lupa like dan follow page baharu Semuanya BOLA (fb.com/semuanyabolaofficial) dan siaran Telegram (t.me/mysemuanyabola).

Baca artikel menarik lain melalui pautan di bawah:

3 Contoh Bila Bermain Cara Selamat Mengundang Padah Dalam Bola Sepak

10 Trio Penyerang Paling Berbahaya Di UEFA Champions League

Tewas Perlawanan Separuh Akhir Kedua, 5 Pasukan Ini Tetap Ke Final Champions League

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN