Surat Terbuka Kepada Media Prima dan RTM – Dari Pembaca Kami

Nota editor: Surat Terbuka Kepada Media Prima dan RTM ini ditulis oleh salah seorang pembaca kami, JJ – seorang peminat bola sepak tegar yang terpaksa mengikuti siaran langsung bola sepak tempatan semalam melalui Twitter feed.

 

Kepada Media Prima dan RTM,

Dikala populariti Liga M semakin memuncak, timbul pula isu berkaitan tentang anda sebagai hos penyiar siaran langsung bola sepak. Pelbagai kritikan dari segi pilihan perlawanan dan kualiti dilemparkan menerusi media sosial dan media cetak.

Persoalan yang berlegar di kalangan kami adalah: mengapakah anda seolah-olah tidak bersedia untuk memberikan liputan terbaik?

Kelebihan Media Prima dan RTM

Jika dilihat dari sudut positif, hak penyiaran kini diberikan kepada “free to air station”. RTM menerusi TV1 serta Media Prima melalui saluran TV3 dan TV9. Ini bermakna, hampir kesemua 26 juta rakyat (dan pendatang asing) Malaysia yang mempunyai televisyen akan menerima siaran langsung yang disiarkan menerusi saluran ini.

Jadi tidak timbul isu sesetengah penyokong yang mempersoalkan – mengapa mereka perlu melanggan siaran berbayar hanya untuk menyaksikan pasukan kesayangan mereka beraksi.

free-stuff

Kami disajikan 3 siaran langsung serentak menerusi 3 saluran percuma ini. Peratusan untuk perlawanan besar disiarkan secara langsung meningkat dan memberi impak positif kepada sekurang-kurangnya 6 pasukan yang bertanding di Liga Super.

Ini dapat meningkatkan profil pasukan dan juga penyokong.

Kekurangan Media Prima dan RTM

Namun begitu impak yang ditinggalkan Astro Arena sangat-sangat memberi kesan kepada kami. Jika pada tahun 2013-2014 kami disajikan dengan kualiti siaran ala Liga Antarabangsa, pada tahun 2015 (hanya 5 tahun lagi sebelum Wawasan 2020) kami disajikan dengan kualiti siaran ala kadar sahaja; seakan-akan menunjukkan konsep “asal ada siaran langsung”.

kualiti

Kredit kepada Astro Arena. Mereka telah menyediakan satu platform atau saluran khas untuk kancah bola sepak tempatan dengan menampilkan hos, pengulas dan panel bolasepak terbaik untuk memberi ulasan serta kritikan mengenai sesuatu perlawanan.

Setiap perlawanan di dahului dengan program pra-perlawanan (1 jam sebelum perlawanan) sebelum disusuli siaran langsung yang berdefinisi tinggi (high definition) dan diakhiri dengan ulasan selepas perlawanan sekaligus memberikan kepuasan kepada kami sebagai penonton. Kami tidak kisah membayar yuran langganan bulanan kerana kami tahu kami bakal disajikan dengan mutu siaran yang berkualiti.

Tidak cukup dengan itu, jika kami tidak berkesempatan untuk menonton siaran langsung, Astro Arena menyediakan siaran ulangan. Mereka juga menyediakan rancangan kompilasi gol tercantik sepanjang minggu, dan pelbagai lagi rancangan bola sepak susulan.

Kami faham Astro Arena adalah saluran TV khas yang didedikasikan untuk sukan manakala saluran TV Media Prima dan RTM hanya mempunyai slot terhad untuk program sukan, tetapi jika anda boleh menyediakan slot untuk bola sepak antarabangsa seperti The Football Review (setiap Selasa), apalah sangat 30 minit seminggu untuk rancangan khas bagi bola sepak tempatan?

Kualiti siaran teruk

Jika dilihat pada siaran langsung perlawanan pembukaan Liga Super 2015 merebut Piala Sumbangsih antara JDT dan Pahang, rata-rata peminat memberikan komen negatif terhadap kualiti siaran langsung itu serta kebolehan pengulas mengulas perlawanan itu.

FAM dicemuh, Media Prima dianggap ketinggalan dari segi kualiti penyiaran dan pengulas dikatakan terlalu berbunga-bunga ketika mengulas. Perbezaan ketara dapat dilihat jika dibandingkan dengan nama-nama besar pengulas yang bernaung di bawah Astro Arena.



Disinilah timbulnya isu mengapa pemenang hak seolah-olah tidak bersedia dalam memberikan khidmat terbaik kepada kami? Perkara ini harus dipandang serius kerana ia boleh merencatkan kemeriahan liga tempatan.

Pemilihan perlawanan yang pro-pasukan besar

Satu lagi perkara yang kami perlu bangkitkan adalah pemilihan perlawanan yang disiarkan secara langsung. Setelah 3 minggu Liga Malaysia berlangsung, siaran langsung hanya tertumpu kepada pasukan yang bertanding dalam Liga Super sahaja. Perlawanan pasukan Selangor telah disiarkan secara langsung 3 minggu berturut-turut. Sedangkan perlawanan antara Sarawak dan Terengganu pada minggu ke-2 liga juga hangat dan menarik bagi kami.

Jangankan Liga FAM, Liga Perdana juga telah mula dipinggirkan oleh anda berbeza dengan tahun sebelumnya. Bagaimana kami ingin menyaksikan aksi Shafiq Shaharudin (JDT II), Farhan Roslan (Kedah) atau Shafuan Adli (Sabah) kalau tiada perlawanan Liga Perdana disiarkan?

IMG_0269
Shafiq Shaharudin (JDT II)

Isu sebegini menimbulkan rasa tidak puas hati kami. Apakah anda terlupa bahawa pasukan-pasukan lain juga mempunyai jumlah peminat yang besar?

Mengapa saingan Piala FA tiada siaran langsung?

Pusingan pertama Piala FA yang berlangsung hujung minggu lalu melibatkan 16 perlawanan namun tiada satu pun siaran langsung dari kedua-dua hos penyiar. Media Prima menjelaskan mereka tidak mempunyai hak penyiaran untuk Piala FA. Jadi kami ingin menuding jari kepada FAM dan bertanya: mengapa tiada siaran langsung Piala FA?

Berita baik buat peminat bola sepak tempatan

Bagaimanapun masih ada berita baik untuk kita. Wartawan sukan Astro Arena, saudara Rizal Hashim memberitahu di akaun Twitternya bahawa Astro Arena sedang berusaha untuk membawa aksi bola sepak tempatan ke saluran mereka seawal-awalnya April ini. Jika ini menjadi kenyataan, ini bermakna bola sepak tempatan akan menjadi lebih meriah dengan rakyat Malaysia mempunyai pilihan antara siaran percuma dan siaran berbayar.

11042957_10204604626967864_9139868872338412675_n

Satu perkara yang pasti, aksi Liga Perdana dan Liga FAM juga tidak akan dipinggirkan di kaca TV dengan kehadiran Astro Arena. Sebagai peminat bola sepak, kami mengalu-alukan penglibatan Astro Arena untuk menyelesaikan kemelut kami ini.

Bukankah ini intipati ekonomi pasaran bebas? Memberi apa yang pelanggan mahu?

Kesimpulan

Kepada Media Prima dan RTM,

Ambillah kritikan kami ini sebagai batu loncatan buat anda untuk bekerja lebih kuat bagi memastikan kepuasan penonton. Jika tidak dapat menandingi Astro Arena, cubalah perbaikinya ke tahap itu.

Ya, kami dahagakan ulasan sebelum perlawanan, siaran berdefinisi tinggi dan rumusan selepas perlawanan.

Ya, kami mahukan ulasan berkualiti – yang penuh dengan fakta dan data statistik, bukannya penanda wacanan, lewahan (redundancies) dan bahasa yang terlalu berbunga-bunga.

Kepada Media Prima dan RTM, terima kasih diucapkan dan selamat datang ke dunia baru televisyen.

 

Anda mahu menulis tentang bola sepak? Tulis apa-apa sahaja pasal bola sepak (artikel lepas geram, cadangan dan sebagainya) dan hantar artikel tulisan anda ke [email protected] dan kami akan siarkan di laman web kami.

 

Like page SemuanyaBOLA di Facebook.

Follow Twitter kami di @semuanyabola

Sumber gambar: Johor Southern Tigers

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN