Previu Piala Eropah 2016: Kumpulan ‘Maut’ D Temu 4 Pasukan Top 30 Ranking Dunia

Kumpulan D menempatkan Croatia, Sepanyol, Republik Czech dan Turki.

Kumpulan ini boleh dilabel sebagai ‘kumpulan maut’ berdasarkan kemampuan dan kualiti keempat-empat pasukan yang ada. Kesemua pasukan dalam kumpulan ini berada dalam top 30 dalam ranking dunia FIFA.

[adrotate group=”2″]

Sepanyol mungkin akan menjadi pilihan untuk memimpin kumpulan ini. Ia diyakinkan oleh aksi kemenangan 6-1 dalam aksi pemanas badan menentang Korea Selatan.

Sepanyol menjadi satu satunya pasukan yang menjadi juara 2 edisi berturut turut (2008 & 2012). Mereka mencari kejuaraan ketiga dalam sejarah pasukan ini.

Bagaimana mereka layak?

1. Sepanyol

Sepanyol segera melupakan kegagalan semasa Piala Dunia 2014 yang lepas apabila tidak berdepan sebarang masalah ketika pusingan kelayakan EURO 2016.

Tewas hanya sekali iaitu di tangan Slovakia (kalah 1-2 di halaman Slovakia), Sepanyol secara keseluruhannya selesa bergelar juara kumpulan C sambil mencipta rekod baru – berjaya melakukan 8 clean sheets.

Seperti Romania yang hanya bolos 2 kali dalam pusingan kelayakan, jentera pertahanan Sepanyol juga cemerlang – hanya bolos 3 kali. Tetapi jentera serangan Sepanyol jauh lebih menggerunkan berbanding Romania apabila menjaringkan 23 gol.

2. Republik Czech

Sebagai salah sebuah pasukan (selain Iceland) yang menewaskan Belanda sebanyak 2 kali (home dan away) semasa pusingan kelayakan, agak menghairankan juga bagaimana Republik Czech masih berada pada ranking ke-30 dunia berbanding Belanda yang kini berada pada ranking ke-15.

Malah kami berani jamin anda boleh menyebut lebih ramai nama pemain Belanda berbanding pemain Czech tanpa melihat Wikipedia.

Republik Czech hanya tewas 2 kali semasa pusingan kelayakan (1-2 vs Iceland dan 0-2 vs Turki) tetapi muncul pasukan yang layak ke EURO 2016 dengan gol bolos paling banyak iaitu 14 gol.

3. Croatia

Croatia menamatkan kelayakan sebagai naib juara kumpulan H yang turut dihuni oleh Itali, Norway, Bulgaria, Azerbaijan dan Malta. Tetapi ia bukanlah kempen mudah untuk Croatia apabila terpaksa melalui pelbagai isu teknikal.

Selain terpaksa menukar jurulatih daripada Niko Kovac kepada Ante Cacic, Croatia juga pernah didenda €100,000, tolak satu mata dan bermain 2 perlawanan home di stadium kosong semasa pusingan kelayakan.

Ini berikutan kelakuan ganas dan racist penyokong Croatia dalam 3 perlawanan – ketika menentang Itali (home dan away) dan Norway. Jika perkara ini berulang, UEFA memberi amaran – Croatia akan digantung.

Hampir-hampir dipintas Norway akibat kejadian ini, Croatia bernasib baik kerana mempunyai ramai pemain berkualiti yang boleh diharap dan Norway tewas pada perlawanan terakhir kumpulan (kalah 1-2 vs Itali).

4. Turki

Melengkapkan kumpulan D adalah Turki. Meskipun hanya menduduki tangga ke-3 kumpulan A (di belakang Republik Czech dan Iceland), Turki layak secara automatik tanpa melalui play-off selepas menjadi pasukan tangga ke-3 terbaik dalam pusingan kelayakan EURO 2016.

Sejak dari dulu Turki terkenal dengan reputasi mereka sebagai kuda hitam; mereka boleh mencipta kejutan apabila kena pada masa dan tempatnya.

Pernah membelasah Belanda 3-0 dan juara kumpulan Republik Czech 2-0, Turki juga pernah tewas 0-3 kepada Iceland dan hanya mampu seri 2 kali (home dan away) menentang Latvia.

Ia adalah bukti Turki sangat mampu mencipta kejutan – positif mahupun negatif.

Siapa pemain tumpuan?

Sepanyol – Andres Iniesta (Barcelona)

Walaupun selepas berjaya mencipta nama dalam pasukan Sepanyol yang paling berjaya dalam sejarah (juara EURO 2008 & 2012, Piala Dunia 2010), perancang veteran Barcelona ini masih dahagakan aksi antarabangsa.

Anda perlu ingat, Sepanyol tak pernah kemarau perancang berkualiti.

Tetapi pada usia 32 tahun, Iniesta masih lagi dipilih. Masih lagi hebat. Masih lagi mampu memberikan persembahan yang lebih berkualiti berbanding perancang lain yang lebih muda.

Republik Czech – Vladimír Darida (Hertha Berlin)

Lupakan Petr Cech, Jaroslav Plasil, Michal Kadlec dan Tomas Rosicky. Vladimir Darida adalah masa depan Republik Czech.

Untuk peminat Premier League yang jarang menonton Bundesliga, pemain paling hampir yang kami boleh kaitkan dengan Darida adalah N’golo Kante.

Speerti Kante di Leicester, Darida adalah pemain penting bagi Pal Dardai yang bertanggungjawab memperbaiki kedudukan liga Berlin dari tangga ke-15 pada musim 2014/2015 kepada tangga ke-7 pada musim lepas.

Croatia – Luka Modric (Real Madrid)

Bukan calang-calang pemain dapat menjadi pemain utama Real Madrid  – kelab yang kerap membeli pemain seperti suri rumah membeli gula – walaupun kelabnya sudah melantik 4 pengurus berbeza dan membeli 8 pemain di posisi sama sejak 2012.

Inilah testimoni kualiti Luka Modric.

Untuk melangkah lebih jauh dalam EURO 2016 nanti, Croatia perlu mengikuti nasihat Johan Cruyff yang sangat meminati Modric:

“Beliau (Modric) merupakan pemain yang berkualiti tinggi. Tetapi memerlukan kebebasan daripada ketua jurulatih untuk mengekspresikan kreativitinya.”

Turki – Arda Turan ( Barcelona )

Walaupun gagal mendapat tempat dalam Barcelona, ia bukan faktor untuk menafikan statusnya sebagai kapten, lagenda dan pemimpin pasukan Turki.

Beliau adalah pemain penting Fatih Terim dan sentiasa menjadi pilihan untuk mengisi slot pasukan utama.

Siapa bakal mara ?

Dalam banyak-banyak kumpulan, kumpulan inilah yang kami jangka mempunyai potensi paling tinggi untuk menghantar 3 wakil ke pusingan seterusnya menerusi slot juara kumpulan, naib juara kumpulan dan pasukan tempat ke-3 terbaik.

Sepanyol dijangka tidak akan mempunyai masalah untuk menjadi juara kumpulan.

Ini menjadikan 3 lagi pasukan  – Republik Czech, Croatia dan  Turki – mempunyai peluang untuk merebut sekurng-kurangnya satu lagi slot automatik. Keputusan mereka menentang Sepanyol mungkin akan menjadi faktor penting yang menentukan nasib mereka.

Dalam situasi terbuka ini, kami memilih Croatia sebagai naib juara kumpulan ini.

Baca juga: Previu EURO 2016: Kumpulan C Panaskan Insiden EURO 2008 Antara Jerman Dengan Poland

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN