Previu Piala Eropah 2016: 3 Negara Kumpulan E Taruh Kuda Tua Lawan Belgium

Kumpulan E adalah antara kumpulan yang paling menarik dalam kempen EURO 2016 kali ini. Ia menghimpunkan Itali, Belgium, Republik Ireland dan Sweden.

[adrotate group=”2″]

Kumpulan ini juga mengimpunkan beberapa nama lagenda untuk negara masing-masing (kecuali Belgium yang mempunyai purata umur 26.4 tahun, ke-4 paling muda dalam EURO 2016 selepas England dan Jerman) seperti:

  • Zlatan Ibrahimovic (Sweden)
  • Robbie Keane (Republik Ireland)
  • Gianluigi Buffon (Itali)

Jangan disangka semakin tua, semakin kurang bisa lagenda-lagenda ini. Bak kata Zlatan:

“Saya ibarat wain, semakin berusia semakin bagus.”

Belgium mungkin akan berdepan kesukaran dengan ketiadaan Vincent Kompany.

Tetapi buat kali pertamanya mereka nampak sudah menyelesaikan masalah kemarau bek kiri dan kanan yang dihadapi semasa Piala Dunia 2014 dengan kehadiran Jordan Lukaku (bek kiri) dan Thomas Meunier (bek kanan).

Finalis EURO 2012, Itali pula mungkin turun dengan barisan pemain yang kurang terkenal di luar Itali. Tetapi mereka sentiasa mempamerkan aksi cemerlang ketika ramai peminat tak menyangka.

Turut menghuni kumpulan ini adalah Republik Ireland dan Sweden yang dikritik sebagai ‘one-man team’. Robbie Keane dan Ibrahimovic akan terus menggalas beban sebagai ayam tambatan pasukan mereka masing-masing.

Bagaimana mereka layak?

1. Itali

Itali mara apabila menjuarai kumpulan H dengan beza 4 mata di atas Croatia yang berada di tangga kedua.

Sebelum ini bermain dalam sistem back four, Antonio Conte beralih kepada sistem back three untuk memanfaatkan kekebalan dan keserasian back three Juventus – Andrea Barzagli, Leonardo Bonucci dan Giorgio Chiellini.

Hasilnya Itali menamatkan kempen kelayakan tanpa kalah. 5 daripada 7 kemenangan mereka adalah menang dengan beza 1 gol (termasuk kemenangan 1-0 menentang Malta); menandakan kemarau penyerang berkualiti dalam skuad Itali.

Isu ini jelas apabila penyerang utama mereka, Graziano Pelle hanya mampu menjaringkan 3 gol sepanjang pusingan kelayakan.

2. Belgium

Selepas hanya mampu mara ke peringkat suku akhir Piala Dunia 2014, Belgium ada misi lebih besar dalam EURO 2016 untuk menepati status mereka sebagai pasukan Eropah yang menduduki ranking paling tinggi (Jerman di ranking ke-5 dunia, Sepanyol ke-6).

Belgium bermula dengan goyah ketika peringkat awal pusingan kelayakan apabila hanya menang 3 daripada 6 perlawanan awal. Itupun ketika menentang Cyprus, Andorra dan Israel.

Ketika menentang Wales, Belgium hanya mampu seri 0-0 di halaman sendiri sebelum kalah 0-1 di halaman Wales. Tetapi di akhir saingan, mereka masih mampu layak ke EURO 2016 sebagai juara kumpulan.

3. Sweden

Selepas hanya mampu menduduki tangga ke-3 kumpulan (di belakang Austria dan Russia) dalam pusingan kelayakan, Sweden dipaksa menentang jiran dan musuh tradisi Scandivania mereka, Denmark dalam perlawanan play-off.

Mujurlah mereka mempunyai Zlatan Ibrahimovic. Pemain PSG ini menjaringkan 3 daripada 4 gol yang diperlukan Sweden untuk menewaskan Denmark 4-3 secara agregat.

Malah Ibrahimovic bertanggungjawab menjaringkan 8 gol dalam peringkat kumpulan; 53.3% daripada 15 gol yang dijaringkan Sweden secara keseluruhannya.

4. Republik Ireland

Menghuni kumpulan kelayakan sama dengan Jerman, Poland dan jiran Kepulauan British mereka, Scotland, Republik Ireland melakukan usaha ‘cukup-cukup makan’ untuk layak ke EURO 2016.

Kualiti pemain-pemain Jerman dan Poland yang tinggi bermakna Republik Ireland dan Scotland terpaksa berebut tangga ke-3 kumpulan untuk mendapat slot play-off.

Scotland bermula dengan baik apabila menang 1-0 ke atas Republik Ireland di halaman sendiri dan mengikat jiran mereka 1-1 di Dublin. Tangga ke-3 kumpulan nampak menjadi milik mereka.

Namun entah mengapa, tiba-tiba Scotland tewas mengejut 0-1 kepada Georgia. Republik Ireland pula tiba-tiba menang mengejut 1-0 ke atas Jerman sebulan kemudian!

2 keputusan mengejutkan ini nyata memberi faedah kepada Republik Ireland. Mereka meneruskan kecemerlangan di peringkat play-off untuk menewaskan Bosnia Herzegovina 3-1 secara agregat; sekaligus layak ke EURO 2016.

Siapa pemain tumpuan?

Itali – Gianluigi Buffon (Juventus)

Ian Rush pernah menjelaskan kepentingan penjaga gol hebat seperti Gianluigi Buffon:

“Bermain sebagai penyerang lebih baik daripada bermian sebagai penjaga gol. Jika anda mensia-siakan 5 peluang dan menjaringkan 1 gol kemenangan, andalah hero pasukan. Tetapi bila penjaga gol buat 1 kesilapan, anda terus jadi mangsa.”

Perkara yang anda perlu ingat tentang Buffon adalah beliau jarang membuat kesilapan. Masakan tidak, beliau pernah menulis surat cinta kepada pintu gol untuk melindunginya sampai bila-bila.

Belgium – Kevin De Bruyne (Manchester City)

Dengan 5 gol dan 3 assists, Kevin De Bruyne merupakan pemain yang paling produktif untuk Belgium pada pusingan kelayakan.

Agresif, berstamina tinggi, direct dan bijak membuat keputusan di atas padang, De Bruyne merupakan pemain yang bakal diharap penyokong Belgium untuk menyerlah jika Eden Hazard mengulangi persembahan mengecewakan beliau semasa Piala Dunia 2014.

Sweden – Zlatan Ibrahimovic (ejen bebas)

Dengan 11 gol dalam 10 perlawanan iaitu purata 1 gol setiap 74 minit, Zlatan Ibrahimovic merupakan penjaring kedua terbanyak pusingan kelayakan EURO 2016 di belakang Robert Lewandowski (13 gol).

Ketua jurulatih Sweden, Erik Hamrén pernah dikutuk oleh media kerana memberikan Ibrahimovic terlalu banyak kebebasan di dalam dan luar padang.

Tetapi media Sweden perlu ingat, Sweden takkan berada dalam EURO 2016 kalau bukan kerana gol-gol Ibrahimovic.

Republik Ireland – Shane Long (Southampton)

Kebangkitan karier Shane Long di Southampton bermakna Robbie Keane – kapten dan lagenda Republik Ireland – mungkin hanya akan mempengaruhi perlawanan dari bangku simpanan sahaja. Tetapi ia akan memanfaatkan Ireland secara keseluruhannya.

Kebolehannya memenangi pertarungan fizikal dan berlari lebih laju daripada pemain pertahanan bermakna Long akan sangat cocok dengan corak taktikal defensif Ireland.

Gol tunggalnya ketika menewaskan Jerman 1-0 adalah testimoni kepentingan gaya permainannya kepada strategi Ireland.

Siapa bakal mara?

Belgium dan Itali adalah pilihan kami walaupun keteguhan pertahanan Republik Ireland dan kegeniusan Ibrahimovic mungkin boleh membuktikan sebaliknya.

Pertemuan Itali dengan Belgium akan menentukan siapa yang akan menjadi juara kumpulan. Sementara itu, Republik Ireland dan Sweden perlu mendapat keputusan positif menentang Belgium jika mahu membuat kejutan.

Baca juga: Previu EURO 2016: Kumpulan ‘Maut’ D Temukan 4 Pasukan Top 30 Ranking Dunia FIFA

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN