Mengapa Manchester United Tak Perlu Risau Bila Depay Hilang Bola 35 Kali

Ketika Manchester United menentang Newcastle United pada Sabtu lepas, perhatian penonton tertumpu kepada pemain berjersi nombor 7. Memphis Depay namanya.

3 hari sebelum perlawanan tersebut, Depay baru saja menjaringkan 2 gol. Ketika itu, United menewaskan Club Brugge 3-1. Gol pertamannya adalah gol klasik Depay.

Selepas menerima bola, Depay menewaskan bek kanan Club Brugge (yang juga pemain kelahiran Malaysia) dengan satu sentuhan. Dari sayap kiri, beliau membawa bola masuk ke kotak penalti. Ketika pemain sederhana akan terus merembat, Depay tenang. Beliau menunggu dan menunggu sehingga ada ruang untuk merembat.

Ketika rembatan beliau dilepaskan, kedudukan badan penjaga gol Club Brugge sudah pun salah. Rembatan leret Depay terus menerjah ke gawang gol.

Persembahan Depay dikritik

Dalam perlawanan yang menyaksikan United mendominasi 70% penguasaan bola, Newcastle pasti gembira dengan keputusan 0-0. Isu kegagalan United menjaringkan gol disebalik penguasaan bola mereka mula dimainkan media. Salah satu kambing hitam isu ini adalah Depay.

Dengan data statistik, media menggunakannya untuk menyalahkan Depay – selain Wayne Rooney – kerana hilang bola sebanyak 35 kali. Ia adalah rekod hilang bola yang paling banyak dicatatkan oleh seorang pemain dalam liga pada musim ini.

Statistik ini menimbulkan debat antara peminat bola sepak.

Penyokong United berpendapat Depay banyak hilang bola kerana beliau sentiasa cuba melakukan sesuatu yang berani untuk mendapatkan gol. Tom Cleverley mempunyai ketepatan hantaran sebanyak 90% semasa musim 2013/2014.

Tetapi mereka masih bencikan gaya permainan Cleverley.

Dari perspektif lain, ada yang berpendapat United pasti akan dihukum oleh pasukan yang lebih kuat jika Depay terus hilang bola sebanyak itu. Malah rakan sepasukannya juga akan penat untuk merampas kembali bola selepas Depay kehilangannya.

Dilema penyerang

Sebagai penyerang, antara dilema yang perlu anda pertimbangkan adalah: adakah anda memilih risiko tinggi untuk mendapat hasil yang tinggi? Atau adakah anda bermain dengan cara selamat?

Untuk menjawab dilema ini, kita perlu meneliti jawapan yang diberi oleh Thierry Henry. Antara penyerang terbaik di dunia dalam generasinya. Menurut Henry:

“Sebagai pemain, anda perlu melakukan apa yang bola sepak mahu anda lakukan.”

Sebagai bekas pemain, agak mengagumkan apabila Henry mampu berfalsafah sebegini. Tetapi kata-kata beliau ada betulnya.

Ya, bermain dengan risiko tinggi ada kelebihan dan kekurangannya. Begitu juga jika penyerang bermain dengan cara selamat. Ada kelebihan dan kekurangannya.

Cuma sebagai penyerang yang bagus, anda perlu memilih risiko yang betul bergantung kepada situasi perlawanan. Jika pasukan anda mempunyai penguasaan bola yang tinggi, apa salahnya bermain dengan risiko tinggi untuk mendapatkan gol?

Kalau tidak, apa gunanya Morgan Schneiderlin dan Bastian Schweinsteiger di belakang anda?

Personaliti Depay

Jika anda memerhatikan gaya hidup Depay sendiri, anda akan faham mengapa beliau gemar mengambil risiko tinggi ketika bermain.

Pemilihan keretanya sahaja sudah menggambarkan pilihan yang berani. Tidak hairanlah, Mario Balotelli juga memiliki kereta yang sama.

Untitled

Sebagai peminat muzik hip hop, Depay tidak menolak tawaran untuk membintangi muzik video berjudul Flexin’. Ia dinyanyikan oleh kumpulan rap Belanda, Rotterdam Airlines.

Dalam muzik video tersebut, Depay menyanyi bahagian rap di kerusi belakang kereta. Seperti muzik video hip hop yang tipikal, Depay menyanyi sambil didampingi 2 gadis.

aa

Di dalam video lagu itu , Depay menyanyi bahagian rap ketika berada di kerusi belakang kereta. Sambil di dampingi 2 gadis yang beliau gelar sebagai ‘chicks’.

Tatu badan

Tatu Dream Chaser adalah antara puluhan tatu yang terdapat pada badan Depay. Mesej tatu tersebut ada di bahagian dada Depay. Dan kelihatan lebih jelas berbanding tatu lain yang lebih bersifat seni .

Antara tatu lain di badan Depay adalah Dream. Believe. Achieve. Dan tatu baru yang baru ditambah That’s what I do.

aaaa

Jika tatu di badan belum cukup ekstrem, beliau turut memiliki tatu di dalam mulut yang tertulis ‘succesvol’ yang bermaksud ‘successful’. Atau kejayaan.

Meminati Cristiano Ronaldo

Untuk berjaya, anda memerlukan kerja keras dan sedikit dos keyakinan diri. Atau dalam bahasa dunia hip hop: SWAG.

Mart van Duren merupakan jurulatih Memphis Depay ketika remaja. Beliau bertanggungjawab mengasah bakat Depay selepas menyertai PSV Eindhoven dari skuad bawah 12 tahun Sparta Rotterdam.

Menurut van Duren:

“Ketika beliau diserap ke skuad utama PSV Eindhoven, dia akan kembali ke akademi selepas latihan bersama skuad utama untuk meminta saya mengajar teknik sepakan percuma Cristiano Ronaldo.”

“Kami banyak bersama untuk memperbaiki teknik sepakan percuma. Saya banyak mendorong Depay untuk cuba melencongkan bola sedikit dan melihat sasaran.”

“Namun dia tetap berkeras untuk menendangnya secara deras! Dari jarak 30 meter, ianya bagaimanapun cukup menakjubkan.”

Van Duren juga mengesahkan Depay rajin menghabiskan masa di gimnasium.

“Dia berada di gim sepanjang masa. Jadi dia cukup baik dari segi fizikal. Dia memiliki persamaan dengan Ronaldo: hasil gabungan teknikal dan kekuatan.”

“Bila anda menggabungkan teknikal dan kekuatan , anda boleh jadi istimewa.”

Baca juga: MEMPHIS DEPAY: PELENGKAP KEKURANGAN UNITED

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN