Kawan-kawan memanggilnya Mané. Penyokong Brazil memanggilnya Mané Garrincha. Media memanggilnya Alegria do Povo (Kegembiraan Orang Ramai). Sasterawan Brazil, Rui Castro, memanggilnya Anjo de Pernas Tortas (Malaikat Berkaki Bengkok).
Kini beliau dikenali sebagai Garrincha. Atau nama sebenarnya: Manuel Francisco dos Santos.
Dilahirkan dengan kecacatan
Garrincha dilahirkan di Pau Grande, sebuah kampung kecil di Rio de Janeiro pada 1933.
Sejak kelahirannya, Garrincha sudah mempunyai kecacatan fizikal. Tulang belakangnya bengkok. Tulang kaki kanannya bengkok ke luar manakala kaki kirinya bengkok ke dalam dan pendek 6 cm.
Pada ketinggian maksimum 169cm atau 5 kaki 7 inci, Garrincha membesar sebagai budak lelaki yang kecil. Kakaknya, Rosa, memberi nama panggilan ‘Garrincha’ kepada adiknya bersempena nama burung kecil yang banyak terdapat di kampung mereka.
Kecacatan bukan penghalang
Pada awal permulaan kariernya, Garrincha telah ditolak mentah-mentah beberapa kelab seperti Fluminense dan Vasco da Gama kerana kecacatan kakinya. Mereka menggelarnya ‘kaki bengkok’ dan ‘kaki patah’ – sesuatu yang hanya membuatkan beliau semakin bersemangat untuk membuktikan mereka salah.
Nasibnya berubah setelah hadir ke sesi pemilihan Botafogo. Dalam sesi pemilihan, Garrincha terpaksa berdepan dengan Nilson Santos, pemain pertahanan kiri kebangsaan Brazil waktu itu .
Bagaimanapun selepas sesi latihan , Garrincha terlalu hebat untuk Nilson Santos sehinggakan bek kiri Brazil itu beberapa kali di-nutmeg. Malah selepas sesi pemilihan, Nilson Santos sendiri terpaksa berkata kepada Presiden Botafago:
“Tuan Presiden, tolonglah ambil pemain ini supaya saya tidak akan berdepan dengan dia lagi.”
Didenda kerana terlalu hebat menggelecek
Ketika Piala Dunia 1958 di Sweden, Brazil hadir dengan 2 pemain muda baru; Pele dan Garrincha. Bagaimanapun, kedua-dua mereka tidak bermain dalam 2 perlawanan pertama peringkat kumpulan kerana:
1. Pele mendapat kecederaan
2. Garrincha didenda oleh ketua jurulatih Brazil selepas perlawanan menentang Italy (sebulan sebelum Piala Dunia 1958 bermula) kerana:
- menggelecek melepasi 4 pertahanan Itali dan penjaga gol,
- menunggu seorang lagi pertahanan untuk kembali menghalangnya
- sebelum menggelecek sekali lagi dan menjaringkan gol.
Ketua jurulatih Brazil mendendanya kerana merasakan tindakan Garrincha terlalu berisiko dan tidak bertanggungjawab.
Hanya pada perlawanan ketiga peringkat kumpulan menentang USSR (Soviet Union), barulah Pele dan Garrincha dapat diturunkan serentak. Ketika perlawanan belum pun berusia seminit, Garrincha sudah menggelecek melepasi 3 pemain USSR sebelum merembat kencang bola yang hanya menggegar tiang.
Dalam perlawanan menentang USSR juga, Garrincha dan Pele terlibat dalam detik ‘3 minit terbaik bola sepak sepanjang masa’. Sepanjang 3 minit tersebut, Garrincha dan Pele mencipta peluang demi peluang sehingga menghasilkan kemenangan 2-0 untuk Brazil.
Brazil kemudiannya muncul juara Piala Dunia 1958.
Sepanjang Garrincha bergandingan dengan Pele, Brazil tidak pernah tewas dalam mana-mana perlawanan. Pele menyifatkan gandingan beliau dengan Garrincha sebagai ‘Gandingan Tidak Pernah Tewas’.
Puncak karier pada Piala Dunia 1962
Pada edisi Piala Dunia 1962, Brazil sekali lagi hadir sebagai pasukan pilihan setelah menjuarai edisi sebelumnya. Berbanding dalam edisi sebelum ini, dunia sudah mengenali Garrincha dan Pele.
Bagaimanapun malang menimpa Brazil apabila Pele mendapat kecederaan pada perlawanan kedua peringkat kumpulan dan terus tidak boleh bermain untuk keseluruhan kejohanan selepas itu.
Mujurlah Brazil ada Garrincha. Di bawah Garrincha, Brazil berjaya mara ke separuh akhir, di mana mereka akan bertemu dengan pasukan tuan rumah, Chile. Dalam perlawanan itu, Garrincha menjaringkan 2 gol dan mengkucar-kacirkan pertahanan Chile sesuka hatinya.
Keesokkan harinya, akhbar Chile, El Mercurio di Chile, mengeluarkan tajuk akhbar yang bertulis: Dari planet mana dia datang? lengkap dengan gambar Garrincha.
Sebelum itu di suku akhir, Garrinha turut menjaringkan 2 gol untuk membantu Brazil menewaskan England 3-1.
Ketika perlawanan akhir, Brazil menewaskan Czechoslovakia 3-1 dan mempertahankan kejuaraan Piala Dunia mereka. Garrincha dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan.
Selepas Piala Dunia, Garrincha membantu Botafogo memenangi Campeonato Carioca pula selepas menewaskan Flamengo.
1962 merupakan tahun yang paling gemilang buat Garrincha. Namun selepas trofi Campeonato Carioca, persembahan Garrincha di atas padang terus merosot.
Era kemerosotan
Sehingga kini, peminat bola sepak berspekulasi tentang sebab mengapa persembahan Garrincha merosot secara mendadak selepas 1962. Antara toerinya adalah:
1. Isu perkahwinan dan perceraian
Garrincha telah berkahwin sebanyak 2 kali dalam hidupnya. Perkahwinan pertama beliau adalah dengan pekerja kilang dari Pau Grande , Nair Marques pada 1952 sebelum mereka berpisah pada 1965 . Mereka mempunyai 8 anak bersama.
Perkahwinan berdua Garrincha bersama penyanyi samba, Elza Soares, bagaimanapun tidak banyak dipersetujui oleh ramai pihak . Garrincha telah berubah menjadi selebriti. Kisah hidupnya banyak dijaja. Kehidupannya sebagai selebriti juga meberi kesan ketara persembahannya di atas padang.
Garrincha akhirnya bercerai buat kali kedua pada 1977 setelah dikatakan telah memukul pasangannya.
2. Kecederaan lutut yang semakin melarat
Setelah menjadi bintang utama Botafogo, Garrincha diarahkan untuk terus bermain walaupun dalam kesakitan dan kecederaan. Walaupun sedar akan kecederaan yang dialami Garrincha, Botafogo terus menyuntik dan memberi ubat tahan sakit kepada beliau – sehinggalah amalan ini membinasakan kaki Garrincha.
Dikatakan kecederaannya sudah berlanjutan sehingga sampai ke tahap beliau tidak mampu untuk menahan kesakitannya lagi. Kecederaan itu menyebabkan pergerakannya terbatas di atas padang sehingga dia kehilangan kemampuan yang dimilikinya dahulu.
3. Ketagihan alkahol yang teruk
Sebenarnya cara hidup Garrincha sememangnya buruk dari awal kariernya lagi. Beliau dikatakan ketagih dengan alcohol sehinggakan selepas tamat setiap perlawanan, beliau akan ke bar untuk minum.
Garrincha juga dikatakan sanggup pulang ke kampung halamannya di Pau Grande dan meninggalkan latihan hanya untuk minum bersama rakan-rakannya. Beliau hanya kembali 2 hari sebelum perlawanan seterusnya .
Menurut bekas rakan sepasukannya, Garrincha tidak pernah serius di dalam karier bola sepaknya. Ini terbukti apabila beliau pernah menolak tawaran Real Madrid pada tahun 1959 dan Juventus pada tahun 1954.
Malah ketika skuad Brazil memenangi Piala Dunia 1958 dan meraikan kemenangan itu, Garrincha menyangka kejohanan itu belum tamat dan akan mempunyai pusingan kedua seperti format liga. Dia juga tidak pernah mengambil berat aspek strategi dan taktikal yang diberikan jurulatih.
Ketagihannya kepada minuman Cachaca (minuman air tebu yang diperam) yang diwarisi daripada bapanya terbukti dengan gambar di bawah, yang diambil ketika beliau sedang mabuk di Rio Carnival.
Ketika beliau sedang nazak sebelum kematiannya, doktor memberitahu badannya sudah tidak akan mampu untuk menerima makanan, ubatan dan apa-apa lagi bahan selain dari alkohol. Ini menggambarkan betapa kritikalnya masalah ketagihan alkohol yang dihadapinya.
Legasi dan kenangan
Pada 20 Januari 1983, Garrincha meninggal dunia di rumahnya di Rio di Janeiro akibat penyakit kerosakan hati setelah koma akibat ketagihan alkohol.
Pemerhati bola sepak yang sempat melihat aksi Garrincha berpendapat Garrincha jauh lebih bagus dari Pele jika dia tidak terbabit dalam pelbagai masalah yang dihadapinya.
Alangkah bertuahnya mereka dapat melihat burung kecil menari di sayap kanan padang.
Baca juga: APA YANG TERJADI KEPADA ALEXANDRE PATO?