Inilah Apa Yang Jepun Pelajari Selepas Membandingkan Kualiti Pemain 15 Negara

Nota editor: Artikel ini diolah dari sebuah kertas kajian yang dihasilkan Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) dan ahli akademik dari dua buah universiti di Jepun. Kertas kajian mereka boleh dibaca di sini (dalam Bahasa Inggeris).

Apakah isi kandungan kertas kajian ini?

Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) menubuhkan JFA Youth Development/Social Action Program untuk berkongsi kepakaran JFA dengan negara-negara lain. Menerusi program ini, JFA mendapatkan pandangan jurulatih-jurulatih Jepun yang bekerja di 15 buah negara untuk menilai kualiti pemain muda di negara tersebut.

Ranking semua 15 negara ini berada di bawah Jepun dalam ranking FIFA pada masa kajian. 15 negara ini kemudiannya dibahagikan kepada 3 kumpulan:

  • Ranking tinggi
  • Ranking sederhana
  • Ranking rendah

Kertas kajian ini dihasilkan supaya:

  1. JFA dapat mengenalpasti perbezaan kualiti pemain-pemain muda dari negara ranking tinggi, sederhana dan rendah.
  2. JFA juga mahu mengenalpasti apa yang boleh dilakukan oleh negara dari ranking rendah supaya mereka dapat meningkat naik.

Apakah 15 negara yang terlibat dalam kajian ini?

Antara 15 negara yang dilatih oleh jurulatih-jurulatih JFA adalah:

  • Zambia, Syria, Singapura, Kyrgyzstan, Tajikistan, Bangladesh, Sri Lanka (ranking tinggi)
  • Kemboja, Laos, China, Filipina, Macao (ranking sederhana)
  • Bhutan, Guam, Kepulauan Northern Mariana (ranking rendah)

* Kumpulan ini disusun mengikut ranking FIFA ketika lawatan JFA ke negara tersebut.

** Contohnya, pada masa lawatan JFA ke China, China berada di ranking 168 – lebih rendah berbanding Bangladesh (138) dan Sri Lanka (161)

3

Bagaimanakah kajian ini dijalankan?

Jurulatih-jurulatih JFA diberi kertas soalan dimana mereka perlu menilai kualiti pemain muda berdasarkan 4 aspek:

  • Teknikal – hantaran, menahan bola, skil menggelecek, mengekal penguasaan bola
  • Taktikal – memahami taktik, memahami situasi atas padang, posisi ketika tidak memegang bola (positioning), memahami arahan
  • Kekuatan fizikal – stamina, kelajuan, kekuatan otot, kelincahan, ketinggian dan saiz badan
  • Kekuatan mental – cita-cita, penetapan matlamat, keinginan untuk menang, motivasi, patuh pada arahan, kepercayaan dan kepimpinan.

Apakah keputusan kajian ini?

Perbandingan kualiti keseluruhan pemain-pemain muda:

1

Perbandingan kualiti pemain-pemain muda mengikut aspek teknikal, taktik, kekuatan fizikal dan mental:

2

Apakah maksud keputusan kajian ini?

Bagi JFA, aspek teknikal, taktikal, kekuatan fizikal dan mental adalah penting dalam bola sepak. Keempat-empat aspek ini juga saling berkait. Sebagai contoh, jika pemain tidak diberikan latihan fizikal secara konsisten, hantaran dan ketepatan menjaringkan gol akan terjejas kerana mereka mudah letih. Mereka juga akan mudah hilang fokus dan akhirnya menjejaskan taktik pasukan.

1) Aspek kekuatan fizikal

Jika dilihat daripada keputusan kajian ini, negara di ranking tinggi menunjukkan markah yang tinggi dalam aspek kekuatan fizikal berbanding negara ranking sederhana dan rendah.

Di Singapura, JFA menghantar Takuma Koga yang menjadi ketua jurulatih skuad bawah-17 di National Football Academy, Singapura. Menurut Koga, semua sekolah menengah di Singapura mempunyai pasukan bawah-13 dan bawah-18. Kelab bola sepak di S-League juga giat melakukan program pembangunan akar umbi untuk pemain bawah-8 dan bawah-12.

Di Bangladesh, JFA menghantar Yoshinobi Yamaguchi yang menjadi jurulatih di Bangladesh Krira Shikkha Protishtan (BKSP, lebih kurang seperti SSBJ di Malaysia) pada 2011. Setiap tahun, sebuah BKSP membekalkan 3 hingga 10 pemain kepada pasukan kebangsaan bawah-14 dan bawah-22 mereka. Malah terdapat pemain BKSP (yang masih bersekolah) bermain di liga bola sepak pro negara mereka.

Di Bhutan, Koji Gyotoku merupakan bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Bhutan yang direkomendasi oleh JFA kepada Kesatuan Bola Sepak Bhutan pada 2008. Laporan pertama Gyotoku kepada Kesatuan Bola Sepak Bhutan adalah:

  1. Untuk memajukan bola sepak, Bhutan memerlukan lebih banyak padang bola sepak.
  2. Bhutan memerlukan program pembangunan akar umbi.
  3. Lebih banyak perlawanan persahabatan dengan pasukan luar.
  4. Lebih banyak jurulatih perlu dilatih.

Di Laos, Kokichi Kimura merupakan ketua jurulatih skuad kebangsaan Laos pada 2014. Menurut Kimura, punca Laos terkebelakang dalam bola sepak adalah kerana Laos tiada sebarang aktiviti bola sepak di peringkat sekolah mereka.

2) Aspek kekuatan mental

Negara di ranking tinggi juga menunjukkan markah yang tinggi dalam aspek kekuatan mental berbanding negara ranking sederhana dan rendah.

Menurut Norio Tsukitate, bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Guam yang menghuni negara ranking rendah – latihan bola sepak tidak diberikan kepentingan di Guam berbanding kerja. Tsukitate masih berusaha untuk mengasah mentaliti bola sepak di Guam seupaya pemain Guam tidak mengabaikan latihan dan mempunyai rasa bangga mewakili negara.

Begitu juga halnya di Macau. Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Macau, Masanaga Kageyama menyatakan bola sepak masih bukan perkara nombor satu dalam pemain Macau.

3) Aspek teknikal

Hiraoki Matsuyama (salah satu penulis kertas kajian ini) pernah melatih skuad kebangsaan Bhutan selama dua tahun dari 2010 hingga 2012. Menurutnya, kelemahan utama pemain muda Bhutan adalah ‘kebolehan untuk mengekalkan penguasaan bola’.

Di Chinese Taipei (negara ranking sederhana), Kazuo Kuroda melatih skuad bawah-18 mereka menyedari – kualiti pemain bawah-18 tahun Chinese Taipei jauh ketinggalan dengan pemain sebaya mereka di Jepun.

Penyelesaian yang dicadangkan oleh JFA

Untuk merapatkan jurang antara negara ranking rendah dengan ranking tinggi, JFA memberi beberapa cadangan dalam kertas kajian ini:

1) Mengaktifkan aktiviti bola sepak di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah.

460973392

2) Menyusun program pembangunan akar umbi pada peringkat bawah-12, bawah-15 dan bawah-18 seperti yang dilakukan JFA.

Baca juga: Bagaimana J League Melahirkan Pemain Yang Berkualiti

3) Memastikan pemain peringkat bawah-12, bawah-15 dan bawah-18 sentiasa mempunyai akses ke padang latihan dan perlawanan sebenar secara kerap.

4) Jurulatih pasukan amatur tidak digalakkan membuat latihan teknikal dan taktikal tanpa menggabungkan aspek kecergasan pemain.

Soccer_training_drills

5) Pasukan ranking rendah perlu memperbanyakkan perlawanan persahabatan menentang pasukan setaraf untuk mengumpul keyakinan sebelum menentang pasukan ranking tinggi.

thailand-cameroon-friendly-match_17yzsly6s7p1c132yerufuft3q

6) Aspek teknikal: Memberi penekanan kepada latihan yang membolehkan pemain ‘have the power to keep the ball’.

7) Aspek kekuatan fizikal: Memberi penekanan kepada latihan yang membolehkan pemain ‘strong in one-to-one defensive play’ dan ‘do not lose in interpersonal play’.

54b48aef-bd04-4d35-9769-109ed3093d95

8) Aspek kekuatan mental: Memberi penekanan kepada latihan yang membolehkan pemain ‘play with confidence all the time’.

Peningkatan Bhutan setelah dibantu JFA

Untuk pengetahuan anda, Bhutan sudah berada di bawah program JFA Youth Development Program sejak 2006. Dalam program ini, JFA menurunkan kepakaran staf mereka kepada jurulatih tempatan dan pemain muda tempatan. Hasilnya; Bhutan (menduduki ranking 209 sebelum ini) menunjukkan peningkatan sehingga mampu menundukkan Sri Lanka yang berada pada ranking 174 ketika itu.

Apa yang menariknya, JFA menekankan kepada jurulatih negara ranking sederhana dan rendah seperti Bhutan supaya memberi penekanan berikut dalam latihan pemain muda:

  1. Kebolehan mengekalkan penguasaan bola
  2. Kekuatan ketika situasi bertahan satu lawan satu
  3. Kebolehan menewaskan fizikal lawan
  4. Kebolehan bermain dengan yakin

Apa signifikannya kajian ini kepada Malaysia?

Ketika ini Malaysia yang sedang berada di ranking 164 tergolong dalam kumpulan negara ranking sederhana dalam kertas kajian ini. Sudah tiba masanya kita mengadaptasi hasil kertas kajian JFA ini kepada pemain muda kita untuk:

1) Mengekalkan penguasaan bola melalui permainan hantaran pendek.

2) Mampu memenangi bola ketika situasi bertahanan satu lawan satu.

Ini bermakna, penyerang dan pemain tengah mesti rajin melakukan tekanan (pressing), pemain sayap wajib melakukan larian bertahan (tracking back), pemain bek mesti tahu bagaimana untuk memaksa pemain sayap lawan menggunakan kaki lemah dan pertahanan tengah wajib mendominasi penyerang.

3) Mampu bersaing untuk menewaskan intimidasi fizikal (physical intimidation) lawan.

4) Mampu menyimpan bola, menggelecek dan bertahan dengan yakin.

Baca juga: 5 Sebab Mengapa Pemain Malaysia Tiada Peluang Bermain Dalam J League

 

LIKE dan FOLLOW SemuanyaBola di Facebook serta Twitter

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN