Bagaimana Untuk Selesaikan Masalah Kesesakan Jalan Raya Di Sekitar Stadium Shah Alam

Selangor vs Kedah, final Piala Malaysia 2015.
Lokasi: Stadium Shah Alam

Jam sudah menunjukkan pukul 1 pagi. Tetapi sejak habis perlawanan pukul 11 malam, kereta saya tidak berganjak walau sekangkang kera selama 2 jam.

Tambah malang, paras minyak kereta saya tinggal hanya 1 bar. Dan ia mula berkelip-kelip.

Walaupun risau kehabisan minyak, adalah mustahil untuk saya menutup air-cond kereta dan membuka tingkap kereta. Udara malam Shah Alam pada hari itu berbahang dengan ribuan kereta di depan saya.

Letih melayan kesesakan jalan raya, saya juga letih bermain clutch dan gear kereta manual yang saya pandu. Kaki kiri saya sudah mula meraung keletihan.

Saya hanya dapat keluar dari kesesakan di luar Stadium Shah Alam tersebut pada pukul 1.45 pagi. Sambil memandu lancar pulang ke Kajang, saya berfikir:

“Mahu tak mahu, seseorang perlu fikirkan cara untuk mengurus kesesakan jalan raya di luar Stadium Shah Alam setiap kali ada perlawanan besar.”

Melawat Stadium Machida

FC Machida Zelvia vs Cerezo Osaka, perlawanan pembukaan J2 League musim 2016.
Lokasi: Stadium Machida

Machida adalah sebuah pekan kecil yang terletak kira-kira 40km dari bandaraya Tokyo. Mewakili pekan kecil ini dalam J2 League, liga bola sepak divisyen ke-2 Jepun adalah FC Machida Zelvia.

Sumber: Facebook FC町田ゼルビア - FC Machida Zelvia
Sumber: Facebook FC町田ゼルビア – FC Machida Zelvia

Sepanjang kewujudan FC Machida Zelvia, mereka tidak pernah bermain dalam J1 League. Bersesuaian dengan saiz pekannya yang kecil, saiz stadium mereka – Stadium Machida – juga kecil. Kapasitinya hanyalah 10,622.

Lawatan saya ke Stadium Machida ditemani oleh Wataru Endo, pegawai bahagian Pengurusan Jualan & Pemasaran J League.

Menurut Endo, FC Machida Zelvia pernah memperbaiki stadium mereka untuk memenuhi kriteria kapasiti 10,000 yang ditetapkan oleh J League apabila dipromosi dari liga divisyen ke-3 ke divisyen ke-2 pada 2011.

Tetapi pada 2012, FC Machida Zelvia tersingkir ke liga divisyen ke-3 semula.

Ini membuatkan pelaburan kelab untuk memperbaiki stadium nampak sia-sia kerana stadium berkapasiti 10,000 jauh terlalu banyak untuk liga divisyen ke-3 Jepun.

Setelah 3 tahun bergelut dalam liga divisyen ke-3, akhirnya pada musim 2016 FC Machida Zelvia kembali ke J2 League.

Persamaan Stadium Machida dengan Stadium Shah Alam

Setibanya di Stesen Tsurukawa, Endo memberitahu saya bahawa kami perlu menempuh perjalanan 5km sebelum sampai ke stadium.

Endo memberi saya dua pilihan: teksi atau bas. Melihat barisan panjang (gambar bwah) untuk menaiki bas, saya terus menjawab teksi.

img_17320

Walaupun menaiki teksi, kami masih perlu berjalan kaki juga untuk sampai ke perkarangan stadium.

Jalan masuk ke Stadium Machida sempit. Oleh itu, pihak pengurusan FC Machida Zelvia akan mengarahkan setiap kereta dan teksi untuk parking atau menurunkan penumpang di sebuah kawasan lapang kira-kira 1km dari stadium.

 

Dan disebabkan lokasinya yang terletak di atas bukit, setiap pengunjung stadium perlu berjalan mendaki bukit sejauh 1km. Ketika inilah saya menyesal merokok.

Semasa berjalan kaki mendaki bukit untuk menuju ke perkarangan stadium, saya tak dapat terlepas melihat persamaan Stadium Machida dengan Stadium Shah Alam:

  1. Jalan masuk kedua-dua stadium adalah sempit.
  2. Jarak stesen tren terdekat dengan kedua-dua stadium adalah kurang 6km (jarak Stesen KTM Batu Tiga ke Stadium Shah Alam adalah 3-4km).
  3. Dan kedua-dua stadium terletak di atas bukit.

Bagaimana trafik keluar stadium diurus

Perlawanan yang kami hadiri pada hari itu menemukan FC Machida Zelvia dengan Cerezo Osaka, kelab yang pada satu masa dahulu pernah mengambil Diego Forlan sebagai penyerang mereka.

Walaupun bangkit menguasai perlawanan pada separuh masa kedua, FC Machida Zelvia tidak mampu memadam kelebihan 1 gol Cerezo Osaka pada separuh masa pertama.

FC Machida Zelvia tewas 0-1 tetapi rata-rata penyokong mereka berpuas hati dengan persembahan pasukan mereka.

Tamat perlawanan pada pukul 4 petang, saya memberitahu Endo: saya mahu balik ke stesen tren dengan bas pula.

Saya memberi alasan, saya mahu melihat bagaimana kelab tuan rumah mengurus trafik keluar dari stadium dari mula sampai habis. Endo menurut saja walaupun suhu pada petang itu sudah turun kepada 3 darjah Celcius.

Stadium lengang dalam masa 1 jam

Walaupun FC Machida Zelvia hanyalah sebuah kelab liga divisyen ke-2, mereka masih mampu menarik 15 penaja yang terdiri daripada syarikat-syarikat yang beroperasi sekitar pekan Machida.

Seperti yang pernah kami tulis sebelum ini, perkara ini hanya boleh terjadi jika pasukan anda mempunyai pasukan pemasaran yang bekerja keras dan berilmu – seperti marketing team FC Machida Zelvia.

Salah satu penaja FC Machida Zelvia adalah sebuah syarikat bas.

visual_02

Semasa hari perlawanan, syarikat ini akan menyediakan 5 shuttle bus yang bergilir-gilir akan membawa penyokong:

  • dari Stesen Tsurukawa ke stadium sebelum perlawanan
  • dari stadium ke Stesen Tsurukawa selepas perlawanan

Caj untuk seorang penumpang bas adalah 230 yen. Ini bermakna jika anda menggunakan bas untuk pergi dan balik, anda hanya perlu mengeluarkan 460 yen.

Setibanya anda di Stesen Tsurukawa sebelum perlawanan, anda akan dibantu oleh beberapa pekerja sukarelawan FC Machida Zelvia (gambar bawah) untuk mendapatkan shuttle bus ke stadium.

CcRQx3cWIAAReur

Selepas habis perlawanan, pekerja sukarelawan yang sama akan mengarahkan anda untuk beratur di luar perkarangan stadium untuk mendapatkan shuttle bus ke Stesen Tsurukawa pula.

5 shuttle bus ini, secara satu-persatu, akan berulang-alik untuk membawa lebih kurang 5,000 orang ke Stesen Tsurukawa.

Jika anda memilih untuk balik ke Stesen Tsurukawa dengan teksi, ada satu lagi barisan yang perlu anda beratur. Teksi akan datang bergilir-gilir untuk mengambil penumpang.

Barisan teksi jauh lebih pendek berbanding barisan bas, tetapi anda perlu membayar tambang sehingga 2,000 yen.

Di bawah sistem pengurusan trafik yang sistematik ini, jalan di luar stadium langsung tidak sesak. Ia hanya dilalui oleh 1-2 bas, 2-3 teksi dan beberapa lori peniaga makanan stadium pada satu-satu masa.

Hanya 1 jam selepas perlawanan tamat, kawasan luar stadium yang dipenuhi oleh 11,000 orang sudah menjadi lengang!

Kesimpulan

Ini satu lagi aspek pengurusan dari Jepun yang boleh kita pelajari – iaitu cara mengurus trafik keluar dan masuk stadium.

Dalam kes FC Machida Zelvia, kelab bukan sahaja dapat duit penajaan daripada syarikat bas. Malah syarikat bas juga memperolehi pendapatan semasa hari perlawanan. Penyokong pula tak perlu serabut dengan kesesakan jalan raya.

Bak kata orang putih, it’s a win-win-win situation for all.

Sudah tentulah, saya menjangka akan ada pembaca yang akan menempelak cadangan saya.

Rakyat Malaysia tak pandai beratur, katanya. Syarikat bas tak berminat menaja, katanya. Kapasiti Stadium Shah Alam 8 kali lebih besar, katanya.

Dari perspektif saya, perkara ini boleh diselesaikan dengan:

  1. Semua orang (termasuk saya) mengubah mentaliti supaya beradab dan pandai beratur
  2. Pasukan pemasaran pasukan beri peluang kepada syarikat bas untuk menambah pendapatan jika memberi tajaan
  3. Kerajaan mempercekapkan sistem pengangkutan awam terutamanya KTM Berhad

Baca juga: 5 Perkara Yang Seorang Penyokong Perak Belajar Daripada Final Piala Malaysia 2015

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN