5 Perkara Yang Kita Perlu Lakukan Dahulu Sebelum Naturalisasi Pemain

Siapa sangka Dollah Salleh yang sentiasa dikelilingi pemain tempatan berbakat di zamannya sebagai pemain, akan menjadi jurulatih kebangsaan pertama yang mahukan pemain import naturalisasi dalam skuadnya.

Cadangan Dollah ini memberi satu mesej tersirat kepada FAM dan jurulatih-jurulatih kelahiran FAM. Mesejnya adalah: mereka gagal. Mereka gagal membekalkan pemain-pemain berkualiti untuk pasukan kebangsaan. Terutamanya di posisi pertahanan tengah dan penyerang seperti yang diberitahu Dollah kepada media.

Agak menghairankan juga apabila FAM tidak menghukum Dollah atas komen beliau terhadap mutu kejurulatihan akar umbi FAM kerana B. Sathianathan dan K. Rajagobal pernah diberi amaran oleh FAM kerana pernah mengutarakan perkara yang sama.

Cadangan Dollah untuk menaturalisasikan pemain import ini sebaliknya dipersetujui oleh FAM. Perubahan angin pengurusan FAM ini sememangnya dialu-alukan oleh peminat bola sepak tempatan.

Bagaimanapun untuk memastikan dasar naturalisasi pemain import benar-benar memberi kesan, terdapat 5 perkara yang perlu kita lakukan dahulu.

1. Pemain naturalisasi perlu dilihat sebagai tambahan pilihan, bukannya kemestian dalam skuad kebangsaan

doc6lgqt3ablic204vhwy

Ketika ini, pemain import dalam pasukan-pasukan di liga tempatan merupakan nama wajib dalam kesebelasan utama mereka. Ini kerana mereka dibayar dengan yuran perpindahan dan gaji yang lebih tinggi berbanding pemain tempatan.

Jadi pasukan-pasukan di liga-liga tempatan merasakan adalah satu pembaziran untuk meletakkan pemain-pemain import mereka di bangku simpanan. Walaupun prestasi pemain import mereka sendiri tidaklah memberansangkan.

Status pemain-pemain import naturalisasi dalam skuad kebangsaan wajib dilihat sebagai setaraf dengan pemain tempatan yang lain. Ini bermakna prestasi mereka merosot di liga, mereka wajib digugurkan daripada skuad kebangsaan.

Pemain-pemain naturalisasi ini perlu dilihat sebagai tambahan pilihan untuk ketua jurulatih kebangsaan untuk mengelesaikan masalah kekurangan pemain berkualiti (talent pool) yang semakin kritikal, terutamanya di posisi pertahanan tengah dan penyerang.

Bukannya sebagai nama wajib dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan.

2. Pemain naturalisasi mesti membuktikan kemampuan mereka di liga tempatan dahulu

Ketika era Datuk Wira Mazlan Ahmad memimpin Majlis Sukan Negara, kerajaan memberikan status kerakyatan kepada Yuan Yu Fang (atlet jalan kaki kelahiran China), Hidayat Hamidon (atlet angkat berat kelahiran Indonesia) dan Irina Maharani (atlet menembak kelahiran Ukraine) untuk memastikan dominasi Malaysia dalam Sukan Komanwel 1998.

yuanyufang

Pada 2011, Huang Qiang (atlet terjun kelahiran China) pula diberikan status kerakyatan Malaysia untuk membolehkan Malaysia mempunyai wakil dalam Sukan Olimpik 2012.

Apa yang mengecewakan adalah kesemua atlet ini hanya sekadar jaguh di Asia Tenggara – sesuatu yang boleh dicapai oleh majoriti atlet kelahiran tempatan. Apabila bertanding di Sukan Olimpik, prestasi mereka tidaklah begitu memberansangkan.

Ini sesuatu yang perlu kita elak dan pelajari. Pemain bola sepak yang akan diberi status kerakyatan Malaysia perlu membuktikan persembahan mereka satu tahap di atas pemain tempatan secara KONSISTEN. Bukannya hanya dalam satu perlawanan pertunjukan.

3. Program pembangunan akar umbi mesti dipesatkan lagi

Satu perkara yang dipersetujui oleh majoriti peminat bola sepak yang pro-naturalisasi adalah langkah ini hanyalah penyelesaian jangka masa pendek bagi masalah kekurangan pemain berkualiti di liga tempatan.

Sementara kita menunggu peralihan pemain-pemain muda dari program pembangunan akar umbi ke peringkat senior, kehadiran pemain naturalisasi diharapkan dapat meningkatkan prestasi skuad kebangsaan.

Ini sekaligus dapat meringankan tekanan dan harapan menggunung tinggi yang dipikul oleh pemain-pemain muda dari NFDP, SSBJ, Sekolah Sukan Negeri (SSN) dan Frenz United.

1588862_heroa

Pada ketika ini, pemain-pemain muda ini terdedah dengan tekanan tinggi dan harapan menggunung peminat bola sepak Malaysia.

Apabila pemain-pemain muda diberikan harapan yang tidak realistik, mereka takut mengekspresikan gaya permainan mereka dan memilih untuk bermain secara selamat. Ini sesuatu yang bahaya untuk perkembangan mereka sebagai pemain.

Untuk membanyakkan bakat-bakat muda sementara pemain naturalisasi mewakili negara, syarikat-syarikat swasta juga perlu diberikan insentif dari segi kredit cukai (tax credit) sekiranya mereka aktif terlibat dalam pembangunan akar umbi bola sepak negara.

4. Program kejurulatihan perlu diperbaiki

Salah satu kerisauan kami (dan peminat bola sepak tempatan yang lain) tentang naturalisasi pemain import adalah ia akan membuatkan jurulatih tempatan terus bergantung kepada taktik route-one football, atau long ball.

Dengan adanya pemain import berbadan besar untuk dinaturalisasikan, dikhuatiri jurulatih tempatan tiada inisiatif untuk menawarkan variasi taktikal dalam permainan. Skuad kebangsaan kita pula hanya pandai melambungkan bola kepada target man untuk merancang serangan.

Akibatnya penyerang tempatan terpaksa bermain sebagai pemain sayap.

Dalam keghairahan kita untuk menaturalisasikan pemain import, FAM perlu menambah baik silibus lesen kejurulatihan mereka. Jurulatih tempatan pula perlu sentiasa didedahkan dengan budaya sentiasa mahu belajar supaya mereka boleh mengikuti inovasi taktikal bola sepak dunia.

jurulatih-bersama-peserta-e1434987980691

Perlu diingat, seorang pemain berkualiti masih memerlukan 10 pemain lain untuk menang. Tetapi seorang jurulatih berkualiti boleh menghasilkan beratus-ratus jika tidak beribu pemain berkualiti.

5. FAM perlu belajar daripada skuad ragbi negara dalam isu naturalisasi pemain

Jika sukan renang, olahraga, angkat berat dan menembak bukanlah contoh terbaik dalam isu atlet naturalisasi, sukan ragbi membuktikan sebaliknya.

Sebagai salah satu sukan yang menerima bajet yang jauh lebih kecil daripada bola sepak, prestasi skuad ragbi negara boleh dibanggakan.

Dalam kejohanan Asian Rugby Championship 2015 (Division 2), Malaysia menang semua 3 perlawanan termasuklah kemenangan ke atas pasukan UAE (yang turut menggunakan pemain naturalisasi).

Salah satu penyumbang kejayaan skuad ragbi negara adalah daripada sumbangan pemain-pemain naturalisasi dari Fiji dan American Samoa.

malaysiarugby

Ragbi bukanlah sukan utama negara dan penggunaan pemain naturalisasi membantu pasukan negara untuk lebih kompetitif. Ini sekaligus menarik minat lebih ramai generasi muda untuk menceburi sukan ragbi.

Pemain naturalisasi mampu membantu skuad bola sepak negara tampil lebih kompetitif di peringkat Asia, sekaligus menarik minat lebih ramai generasi muda untuk menyertai akademi-akademi bola sepak.

Baca: Wahai Dollah Salleh, Mengapa Anda Takut Bereksperimen?

Sumber: Malaysia Rugby

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN